Kenapa ideologi Barat mudah bertapak kepada Muslim?

- Advertisement -

MENURUT pandangan Dr. Ghalib Ali Awaji, beberapa faktor utama yang menjadikan umat Islam, dan secara khusus orang muda, melentur dengan idea Barat seperti berikut:

- Advertisement -

1. Jahil terhadap agama sendiri:

أفحكم الجاهلية يبغون ومن أحسن من الله حكما لقوم يوقنون

“Sesudah itu, patutkah mereka berkehendak lagi kepada hukum-hukum jahiliyah? Padahal – kepada orang-orang yang penuh keyakinan – tidak ada sesiapa yang boleh membuat hukum yang lebih pada daripada Allah.”

(Al-Ma’idah: 50)

Iaitu mengikut hawa nafsu dan memandai-mandai. Maka termasuk dalam kategori tersebut apabila memahami Islam dengan adunan mereka. 

Lahir dalam Islam bukan satu jaminan kita faham Islam kesemuanya. Kesyukuran menganut Islam secara warisan perlu dibuktikan dengan melalui proses belajar dan terus belajar. 

Tradisi praktikal agama yang diwarisi secara ‘pass baton’ perlu ditambah dengan penjelasan supaya agama difahami dengan baik sekali gus mencerahkan kekeliruan. Juga mengelakkan agama difahami secara tradisi dan kebudayaan, bukan dengan kefahaman dan hujah.

2. Jahil terhadap keburukan Pemikiran Barat yang merosakkan banyak aspek kehidupan umat Islam.

Tidak semua yang datang dari Barat perlu ditolak, bahkan banyak kebaikan yang boleh diambil. Cuma, ia memerlukan saringan dan penelitian supaya tidak menerima bulat-bulat tanpa sebarang keraguan. 

Menurut Pak Adian Husain, selain memahami agama secara tuntas, wajib juga untuk kita mengenalpasti pemikiran destruktif yang mencemari umat. Ianya sebagai melengkapi perintah Allah dalam melaksanakan amar makruf (faham Islam) dan nahi munkar (kenal ideologi sesat).

3. Obses untuk meniru semua yang datang dari Barat tanpa menilainya dengan prinsip agama terlebih dahulu.

Kata Dr Yusuf Qardhawi, hingga sampai ada yang mengatakan ‘segala yang datang dari Barat adalah baik, yang datang dari Islam sebaliknya’

Kesan media sosial terbuka terhadap orang muda lebih tinggi kerana pada fasa Agnos mereka tidak dididik untuk mampu menyaring maklumat dengan betul. Mengikuti agama secara keturunan sememangnya menjadi sebahagian sebab untuk mereka gagal memahami agama dengan baik. 

Sifat ingin tahu anak-anak yang tinggi, tanpa panduan daripada orang tua dengan baik lalu menjadikan media sosial sebagai anutan bakal merosakkan keluhuran generasi tersebut.

4. Kesungguhan musuh Islam tanpa henti untuk mencampuri urusan kehidupan umat Islam dengan pelbagai pendekatan.

Aspek yang sering dipandang enteng oleh umat Islam, adalah kemampuan dan kesungguhan musuh dalam kempen mereka untuk meruntuhkan Islam. 

‘Kebatilan yang terancang, berpotensi mengalahkan kebenaran yang tidak tersusun. Ucapan yang disandarkan kepada Saidina Ali K.W ini sangat menjelaskan akan realiti pada hari ini.

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 18/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/1222987424/posts/10226721601645833/

- Advertisement -