Covid-19: Kerajaan Melaka terima bantuan RM1.5 bilion

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Melaka yang turut terjejas akibat pandemik Covid-19 mendapat perhatian Kerajaan Pusat yang memberi pelbagai bentuk bantuan dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM1.5 bilion pada tahun ini.

Menteri Kewangan, Senator Dato Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata sebanyak RM534 juta disediakan di bawah anggaran Perbelanjaan Pembangunan negeri Melaka yang melibatkan 161 projek dan sebanyak RM205 juta di bawah Pemberian Kerajaan Pusat kepada kerajaan Melaka.

- Advertisement -

Pada tahun 2020, katanya Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Melaka menguncup 5.9 peratus, lebih tinggi berbanding penguncupan KDNK negara, iaitu 5.6 peratus.

“Ini berikutan prestasi sektor perkhidmatan dan subsektor pelancongan yang terjejas dengan masing-masing menurun sebanyak 4.7 peratus dan 9.1 peratus.

“Ini menyebabkan ramai rakyat kehilangan pekerjaan, manakala perniagaan berhadapan masalah kecairan kewangan. Mengikut statistik Jabatan Perangkaan, kadar pengangguran di Melaka meningkat 1.1 mata peratus kepada 2.2 peratus pada 2020,” katanya menjawab soalan Dato’ Seri Ahmad Maslan (BN-Pontian) di Dewan Rakyat, hari ini.

Tengku Zafrul berkata, Kerajaan Pusat mengambil tindakan proaktif melalui lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi berjumlah RM530 bilion bagi melindungi nyawa dan mata pencarian rakyat, kelangsungan perniagaan dah pemulihan ekonomi.

Bagi negeri Melaka pada tahun ini, katanya sebanyak RM494 juta bantuan tunai disalurkan kepada 306,540 penerima melalui bantuan bulanan kebajikan masyarakat, Bantuan Prihatin Rakyat (BPR), Bantuan Khas Covid-19 (BKC) dan Bantuan Kehilangan Pendapatan (BKP).

Menurutnya, sebanyak RM155 juta ringgit disalurkan melalui bantuan Geran Khas Prihatin (GKP) yang memanfaatkan hampir 36,940 perusahaan mikro dan kecil.

Katanya, sejumlah RM150 juta ringgit pula disalurkan melalui Program Subsidi Upah yang memanfaatkan lebih 5,000 majikan serta menyelamatkan lebih 49,000 pekerjaan.

“Untuk tahun 2022, Kerajaan Pusat akan memperuntukkan RM210 juta di bawah Pemberian Tahunan kepada negeri Melaka, manakala RM574 juta diperuntukkan di bawah perbelanjaan pembangunan bagi menampung 171 projek pembangunan.

“Daripada 171 projek yang diluluskan bagi negeri Melaka, sejumlah 39 merupakan projek baharu yang diluluskan untuk tahun hadapan dan melibatkan peruntukan sebanyak RM51.8 juta,” katanya.

Beliau berkata, rakyat Melaka juga akan terus menerima bantuan tunai dengan anggaran peruntukan lebih RM300 juta, yang bakal memanfaatkan hampir 300,000 penerima melalui bantuan bulanan kebajikan masyarakat serta Bantuan Keluarga Malaysia (BKM). – HARAKAHDAILY 18/11/21