Belanjawan 2022 Terengganu: Menyantuni denyut nadi warga tani

Dr Azman Ibrahim
- Advertisement -

JABI merakamkan ucapan tahniah serta terima kasih kepada YAB MB atas pembentangan Belanjawan 2022 dan penyaluran peruntukan RM7.3 juta kepada sektor pertanian.

Saya mulakan ucapan ini dengan sekalung penghargaan kepada barisan hadapan petani, penternak dan nelayan yang terus tekun bekerja dalam situasi pandemik bagi menghasilkan makanan yang kita makan setiap hari.

YB Bandar menyentuh program-program dalam PSPNT 2019-2023 disasarkan menjadi suatu solusi meringankan beban rakyat dengan objektif besar meningkatkan food security negeri. Usaha kita mula menampakkan hasil dengan peningkatan SSL makanan ruji padi. Tahun 2018 (43 peratus), 2019 (48 peratus) dan 2020 (53 peratus). SSL 2021 dianggarkan mencapai 55.8 peratus.

Program pembangunan tanah terbiar dengan peruntukan RM1 juta disentuh oleh Bandar. Negeri kita memiliki seluas lebih 8,000 ha tanah tanah terbiar, suatu jumlah yang sangat besar dan merugikan negeri. Dengan peruntukan RM1 juta ini, pilot projek sedang dilaksanakan di RTB Pengkalan Aman di Permaisuri Setiu dan RTB Kg Rahmat Langkap, perintis projek pembangunan tanah terbiar, kerjasama antara Kerajaan negeri, TADC serta pemilik-pemilik tanah, melibatkan 100 orang peserta dengan tanaman musang king dan Harum Manis @ Pauh Wongi Manih Leting sebagai tanaman pilihan. Kerajaan mensasarkan pendapatan bulanan minima RM3,000 sebulan kepada setiap peserta bagi mengeluarkan mereka dari garis kemiskinan.

YB Hulu Besut mengingatkan supaya berlaku adil dalam agihan kepada rakyat tanpa mengira apa pegangan politik. Saya bawa suatu contoh keadilan, tahun 2021 ini bila kerajaan agihkan 600 lesen nelayan sampan, salah satu syarat ialah warna bot mesti dicat hijau iaitu kod warna bot nelayan Terengganu sejak zaman berzaman, ramai nelayan yang marahkan saya walaupun bukan Exco Pertanian yang suruh cat hijau. Apa maknanya? Maknanya penerima lesen tersebut bukan orang hijau sebab tu mereka marah! Tapi saya tak sekat pun pemberian lesen untuk mereka.

- Advertisement -

Untuk Kemasik, Tahun 2020 Kerajaan telah membangunkan kandang lembu sado berkelompok di Kg Chabang Kerteh dan 4 orang peserta telah diberikan induk lembu sado bernilai kira-kira RM10,000 seekor. Kami menerima info, 2 ekor induk telah melahirkan zuriat prince of sado.

Penambahbaikan Pusat Veterinar Kg Chabang yang dicadangkan Kemasik, sukacita dimaklumkan bahawa JPV tidak memiliki PV di Chabang. Yang ada di Chabang ialah Lembah Kaprima. PV bagi Daerah Kemaman ialah PV Kerteh, PV Cheneh dan PV Air Puteh. Penternak Kg Chabang boleh memanfaatkan PV Kerteh dengan jarak kira-kira10 km. Semua PV ini melalui proses tambah baik dari masa ke semasa.

LK Kg Chabang sedang dalam perancangan JPV untuk penambahbaikan. Sebahagiannya digunakan untuk projek lembu sado berkelompok. Sebahagian lagi seluas enam ekar telah ditanam rumput untuk keperluan penternak setempat. Kandang yang ada di LK Kg Chabang digunakan untuk menempatkan kambing-kambing berkeliaran.

Daerah Kemaman telah memiliki RS yang dibangunkan oleh Kerajaan Persekutuan di Kg Air, Chukai bernilai RM1 juta pada tahun 1993. Kerajaan ada menerima hasrat dari penternak di Kg Chabang agar dibangunkan rumah sembelihan di situ terutama untuk kegunaan pada musim raya haji. Setakat ini Kerajaan menilai adalah tidak begitu ekonomi dengan kos pembangunan untuk dibina sebuah rumah sembelihan dinisbahkan dengan jumlah ternakan di Padang Ragut Kg Chabang dan penggunaannya hanya secara bermusim. JPV ada mengeluarkan permit bagi kebenaran sembelihan di kawasan-kawasan yang bersesuaian sebagaimana permohonan daripada pemohon.

Rumah Sembelihan bagi Daerah Kemaman di Chukai mempunyai kapasiti sembelihan empat ekor sehari pada hari-hari biasa dan boleh ditingkatkan pada musim perayaan sehingga 15 ekor sehari. Setakat ini purata sembelihan hanya dua ekor sahaja sehari pada hari-hari biasa. Masih under utilized dengan izin. Tahun 2021, kerajaan negeri memperuntukan RM500,000 untuk membina rumah sembelihan di Marang yang merupakan satu-satunya daerah yang belum memiliki rumah sembelihan. Daerah-daerah lain semuanya telah memiliki RS. Majlis pecah tanah RS di Wakaf Tapai Marang akan diadakan pada 9 Disember 2021.

Tukun sebanyak sembilan unit bernilai RM216,000 telah dilabuhkan di Perairan Kemasik pada 1 Oktober 2021. Team kami meredah laut dengan gelombang angin Tenggara untuk nak selesaikan proses labuh tukun ini. YB kena bawak pancing gi test tengok ada ikan apa datang bertandang.

YB Permaisuri menyentuh Setiu sebagai Gedung Pengeluaran Makanan Negeri Terengganu. Senarai projek-projek di DUN Permaisuri:

  1. Projek mega tanaman lada hitam di Bukit Bidong Setiu (RM386.4 juta)
  2. Projek pengeluaran benih kerapu hibrid di Limau Nipis Setiu (RM8 juta)
  3. Projek induk pengganda kambing tenusu di Kg Bari (RM1 juta)
  4. Projek tanaman nenas MD2 di Pak Kancil (RM10 juta)
  5. Projek ternakan lembu semi fidlot di Kg Pak Kancil (RM7 juta)
  6. Projek tanaman ubi vitato berkelompok di Kg Banggol (RM560,000)
  7. Projek tanaman napier di Kg Setia Jaya Merang (RM2 juta)
  8. Projek tanaman kelapa di Kg Banggol Mukim Tasek (RM30 juta)
  9. Projek nursery pertanian di Kg Putera Jaya (RM1 juta)
  10. Projek pembangunan jeti pendaratan ikan di Sg Merang (RM25 juta)
  11. Projek tanaman musang king di Kg Hulu Seladang & Sg Liring (RM4.8 juta)
  12. Projek ternakan ayam bersepadu di Kg Banggol (RM10 juta)
  13. Projek tanaman kontan di Kg Setia Jaya Merang (RM2.4 juta)
  14. Projek pembangunan tanah terbiar di RTB Pengkalan Aman dan Kg Rahmat dengan tanaman MK dan Harum Manis
  15. Projek ternakan ketam nipah oleh YDSM
  16. Projek perluasan kawasan jelapang padi fasa 2dua Daerah Setiu

Kata YB Bukit Besi Terengganu tak akan maju dengan slogan. Saya sangat bersetuju dengan ungkapan ini. Kerana itulah dari 74 program yang disenaraikan dalam Tahun Pertanian Terengganu 2021, sebanyak 59 program atau 79.8 peratus daripadanya dengan peruntukan RM2,951,380 telah dijayakan perlaksanaannya. Sebelum tirai TPT 2021 ditutup, kerajaan negeri meyakini akan mampu melaksanakan lebih 85 peratus dari program yang tersenarai dalam kalendar dengan manfaat langsung kepada rakyat.

Kita tak hidup dengan slogan. Dari jumlah 45 projek pembangunan dalam kalendar TPT 2021, Kerajaan telah berjaya melaksanakan kesemua 45 projek melibatkan peruntukan RM12,436,335.

YB Jerteh bertanya apakah impak langsung program-program pertanian kepada rakyat? YB, kita perlu berada bersama rakyat untuk merasai impak dan denyut nadi rakyat. Apatah lagi penilaian kesan dari projek serta program adalah subjektif dan relatif. Perlaksanaan program dan projek yang terkandung dalam Pelan Strategik Pertanian Terengganu 2019-2023 sentiasa melalui proses penilaian semula sebagai analisa berkala terhadap kejayaan dan keberkesanannya. Saya dan team sentiasa berada di lapangan bersama petani, penternak dan nelayan, mendengar sendiri suka duka dan perit jerih rakyat kita.

Saya lihat sendiri kegembiraan para nelayan bila musim sotong tahun ini berpanjangan sehingga bulan Oktober apabila tukun yang dilabuhkan di kandang-kandang sotong berjaya halang aktiviti pukat tunda yang selalu merosakkan habitat sotong.

Ketika berdepan PKP, hasil akuakultur tak dapat dipasarkan, kerajaan memperuntukan RM200,000 untuk menyalurkan bantuan makanan ikan kepada 700 penternak akuakultur air tawar dan air payau yang berdaftar seluruh negeri. Tak sayugia kalau ia tak memberi apa-apa impak.

Kawasan sawah padi Kg Pengkalan Nangka, Kg Bharu dan Tok Saboh berjumlah ribuan ekar yang terbiar disebabkan kerosakan empangan sejak 2012, kini berjaya dihijaukan kembali. Projek yang telah memberi impak besar kepada petani dan penghasilan makanan negeri.

Pesawah di Skim Pengairan Che Mohid Setiu yang sekian lama berhadapan masalah pengairan, akhirnya diselesaikan dilema mereka dengan pembinaan empangan low weir dengan peruntukan Kerajaan Negeri. 200 ha tanah sawah kembali subur menghijau.

Peserta Padang Ragut Kg Oh Jabi sinonim dengan jalan becak dan berlumpur. Kita bina jalan baru dan menaikkan taraf padang ragut ini sebagai hub lembu sado. Jemput pergi melawat dan lihat bagaimana padang ragut ini telah berubah wajah.

Nelayan di Jeti Kg Batin Seberang Takir dan Kg Geliga Kemaman sekian lama menggunakan kemudahan jeti kayu yang uzur, merbahayakan serta berisiko. Kita tukar bina jeti baru konkrit yang kukuh. Tentu sekali ada impak kepada masyarakat nelayan.

Nelayan pantai tak cukup modal nak beli peralatan. Kerajaan Negeri belanja RM300,000 bagi bantuan peralatan untuk nelayan zon A. Antaranya fishfinder, peralatan memancing, kawat bubu dan pukat tangsi. Seramai 415 orang nelayan seluruh negeri telah mendapat manfaat.

Cuba selami perasaan apabila bantuan one off RM500 diagihkan kepada petani, penternak, nelayan yang disahkan positif Covid-19 sejak PKP Mac 2020 sehingga Jun 2021 ketika mereka sedang kesempitan.

Dalam musim PKP, kita berjaya agihkan 600 Lesen Nelayan Sampan yang menoktahkan penantian mereka sejak berpuluh tahun yang lalu. Jemput YB turun tepi pantai jumpa mata dengan mereka ini dan dengar sendiri luahan isi hati para nelayan yang telah kelaut dari zaman remaja sampai tua. Akhirnya dapat juga rasa pegang buku lesen nelayan sampan.

Lada jatuh harga dan petani kehabisan modal untuk kembali bertanam. Kerajaan Negeri keluar peruntukan untuk bagi bantuan input benih, baja, racun, foliar, plastik UV, pam air dan beberapa peralatan lagi agar mereka boleh bangkit kembali. Ini program dengan impak langsung dan segera kepada rakyat.

Ketika penanam tembikai tak dapat pasarkan hasil dari lebih 200 ekar kebun disebabkan PKP pada Mac 2020, kerajaan negeri belanja lebih RM200,000 untuk beli hasil tembikai dan buka lebih 40 outlet jualan untuk bantu pemasaran. Penanam tembikai yang hampir menangis kembali senyum.

Perlaksanaan pelbagai program dan bantuan dari Januari-November 2021 telah memberi manfaat kepada seramai 3,447 petani, 622 penternak dan 1,880 nelayan dengan nilai RM3,051,380.

Panjang senarainya kalau nak hurai topik ini.

Way forward TPT 2021 ialah:

  1. Apabila tamat perlaksanaan TPT 2021 pada Januari 2022 nanti, Sekretariat TPT bertanggungjawab mengukur pencapaian dan keberkesanan kepada semua golongan sasar melalui soal selidik di lapangan.
  2. Sekretariat TPT bertanggungjawab memantau perlaksanaan serta menyediakan perancangan untuk menambahbaik PSPT 2019-2023.
  3. Sekretariat TPT ditugaskan untuk menyediakan pelan perancangan kearah penubuhan Perbadanan Pertanian Negeri Terengganu. Negeri-negeri lain yang menjadikan pertanian sebagai teras ekonomi rakyat mempunyai perancangan yang bersistematik melalui Perbadanan Pertanian Negeri. Terengganu juga mempunyai perancangan ke arah penubuhan Perbadanan Pertanian Negeri melalui perancangan yang tuntas dan berbekalkan data yang tepat.

Perkembangan projek PSN di tiga tapak Besut, Setiu dan Kemaman. Projek pembinaan 50 unit rumah di setiap tapak dengan kos RM29 juta, RM13 juta dari peruntukan LKIM, baki RM16 juta dari peruntukan kerajaan negeri. Dalam jadual perancangan kerja, tender PSN Kemaman telah ditutup pada 14 November dan PSN Besut akan ditutup pada 25 November sementara PSN Setiu dalam proses tender. Seterusnya fasa laporan tender disusuli mesyuarat lembaga tender, SST kepada kontraktor dan kontraktor dijadualkan akan mula masuk tapak pada 5 Disember 2021 untuk PSN Kemaman. Alhamdulillah, perancangan PSN yang bermula dari Mei 2017, akhirnya bakal berjaya dilaksanakan pada tahun 2021. Terima kasih kepada pasukan kami dalam JK Khas PSN terdiri dari Kerajaan Negeri melalui UPEN dan SUK Perumahan, LKIM, JKR, PMINT, Pejabat Daerah, Majlis Perbandaran dan Majlis Daerah serta semua team yang terlibat menjayakan perancangan besar ini.

YB Kuala Besut ingin tahu status Padang Ragut Kg Tok Has Kuala Besut. Saya dah turun untuk bincang isu ini di lapangan sebagaimana janji saya kepada YB Kuala Besut dalam Sidang DUN sebelum ini, tapi orang kampung mari buat demo, angkat sepanduk dan banner menyebabkan perbincangan secara baik tak dapat diteruskan.

Padang Ragut Tok Has berkeluasan 73.15 ha sedang dalam proses nyahwarta oleh PTB untuk dipecahkan kepada lapan lot bagi tujuan RTB Perumahan dan pewartaan balik sebagai padang ragut. Lot 3623, 3628, 3668, 3845, 2578 (telah ditambun), 2579, 2580 dan 2986. Lima lot iaitu Lot 3623, 3628, 3668, 3845dan 2986 seluas 11.3085 ha akan diwartakan kembali sebagai Padang Ragut JPV manakala baki 3 lot akan dibatalkan warta padang ragut untuk dijadikan tapak rumah. Inilah jalan tengah terbaik ke arah win win situation.

Terdapat dua lagi padang ragut berhampiran iaitu Gong Melor, 4.93 ha dan Padang Ragut Gong Penaga, 4.7 ha sebagai alternatif kepada penternak.

Soalan YB Rantau Abang, Bagi menjamin pengurusan industri akuakultur negeri Terengganu yang lebih teratur, kerajaan bakal melaksanakan penguatkuasaan Kedah-Kaedah Perikanan Darat Negeri Terengganu yang dibaca bersama Akta Perikanan 1985. Akta Perikanan hanya mempunyai peruntukan untuk mengawal sektor perikanan laut sahaja. Kerana itu kerajaan negeri perlu kepada Kaedah-Kaedah Perikanan Darat yang telah diluluskan MMKN pada 28 April 2021. Penguatkuasaan akan dilaksanakan pada awal 2022 dimulakan dengan hebahan secara holistik kepada pengusaha seterusnya penguatkuasaan bermula Jun 2022.

Terima kasih YB Manir yang perihatin untuk mengekalkan kawasan tanah pertanian khususnya padi.
Pertimbangan tukar syarat tanah padi kepada kegunaan lain tertakluk kepada beberapa perkara yang telah dijelaskan dalam sesi soalan lisan.

  1. Rancangan Tempatan Daerah dan zon guna tanah
  2. Pandangan teknikal dari Jabatan-Jabatan seperti Jabatan Pertanian, Pelan Malaysia, PBT, PTG dan lain-lain
  3. Tinjauan sebenar di lapangan

Secara dasarnya, kawasan penanaman padi aktif terutama yang berada dalam kawasan Jelapang Padi IADA Ketara adalah perlu dikekalkan sebagai sawah padi demi kelangsungan sumber bekalan makanan negeri. Bagi kawasan sawah yang tidak lagi aktif bertanam maka bolehlah dipertimbangkan untuk kegunaan lain seperti lot kediaman dan penempatan.
Kerajaan memahami keperluan penempatan dan perumahan baru diwujudkan seiring dengan pertambahan jumlah penduduk. Tapi dalam masa yang sama, keperluan sawah padi yang menghasilkan sumber makanan rakyat juga perlu dipertahankan.

Isu yang dibangkitkan YB Seberang Takir.
Tumpuan bukan hanya kepada padi. RM2.5 juta adalah peruntukan untuk kerajaan negeri menyelesaikan masalah infrastruktur pengairan dan kesuburan tanah sawah di kawasan luar jelapang padi seluas kira-kira 7,000 ha.

Penanaman buah-buahan yang ditimbulkan Seberang Takir juga menjadi tumpuan kerajaan. Antara strategi dalam PSPT 2019-2023 ialah menaik taraf kawasan penanaman buah-buahan sedia ada dan membuka kawasan baru bagi penanaman buah-buahan terpilih.

Tahun 2020 sebanyak RM1.7 juta diperuntukan untuk pembangunan kawasan, infra pengairan, pemasaran dan bantuan input serta insentif penanaman buah-buahan.

RM247,507 telah diperuntukan untuk bantuan pemasaran lambakan hasil tembikai dari ladang seluas 200 ha di Setiu dan Marang ketika PKP Mac 2020.

Dana SBMT sebanyak RM179,875 dimanfaatkan oleh 12 petani sektor buah-buahan terpilih sehingga tahun 2021.

Kemudahan proses buah-buahan segar bertaraf GMP di FAMA Besut. Kemampuan proses 3 mt sehari dan kemampuan simpan 15 mt pes durian dalam satu-satu masa.

Kerajaan juga menyediakan kemudahan insentif ladang kontrak.

Manfaat kepada petani untuk program buah-buahan tahun 2020. Durian 20 orang, harum manis 24 orang dan buah-buahan jangka panjang seperti mangga, nangka, limau, duku, longan dan rambutan seramai 303 orang.

Terengganu juga merupakan antara pengeluar tembikai terbesar di Malaysia dengan keluasan kira-kira 1,000 ekar yang diusahakan secara berperingkat berdasarkan penjadualan yang diatur Jabatan Pertanian Negeri.

Akhir sekali, terima kasih kepada semua jabatan dan agensi yang berada dalam keluarga besar pertanian Terengganu. Terima kasih kepada semua warga tani, nelayan dan penternak yang mewakili 70 peratus rakyat Terengganu. Perjalanan kita masih jauh. Ranjau dan halangan masih banyak. Kekalkan fokus dan giatkan usaha. Kepada Allah kita berserah segalanya. – HARAKAHDAILY 18/11/2021

Ucapan penggulungan Belanjawan Terengganu 2022 oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri yang juga ADUN Jabi, Dr Azman Ibrahim pada persidangan DUN, 17 November 2021.

- Advertisement -