Tiada lesen premis judi jaga kesejahteraan rakyat

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Pemerintah yang adil bukan bererti mengikut semua kemahuan rakyat tanpa meletakkan sesuatu perkara pada tempatnya.

Pengerusi Gabungan Mahasiswa Islam Se-Malaysia (GAMIS) Perlis, Nik Mohamad Firdaus Nordin berkata, kerajaan Kedah telah melaksanakan tanggungjawab itu apabila tidak lagi mengeluarkan lesen premis judi di seluruh negeri berkenaan.

Begitu juga katanya langkah kerajaan Kedah menghadkan penjualan minuman keras hanya kepada orang bukan Islam sahaja.

- Advertisement -

“Langkah tersebut dianggap sebagai tindakan yang adil kepada seluruh masyarakat. Adil bermaksud meletak sesuatu pada tempatnya.

“Ini bertepatan dengan tindakan kerajaan Kedah melakukan perkara yang sepatutnya sebagai seorang Muslim yang diberi kuasa menerajui sebuah kerajaan,” katanya di sini.

Baru-baru ini Menteri Besar Kedah Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor mengumumkan PBT di negeri itu tidak akan mengeluarkan lesen premis judi dan mengawal penjualan arak.

Bagaimanapun langkah itu dipertikaikan pemimpin pembangkang termasuk Pengarah Komunikasi Amanah Khalid Samad yang dilapor menganggap langkah kerajaan Kedah tidak menyelesaikan masalah judi.

Nik Mohamad Firdaus berkata, larangan premis judi itu sejajar dengan syariat Islam, di mana judi dan arak adalah haram bagi peganut agama Islam.

Menurutnya langkah kerajaan Kedah tersebut bertujuan untuk menjaga kebajikan dan kesejahteraan rakyat.

“Dan ia wajar dilaksanakan di negeri-negeri lain dan kerajaan Pusat. Ini kerana aktiviti perjudian hanya mendatangkan keuntungan kepada tauke sahaja.

“Manakala pengemar judi akan kehilangan wang kerana aktiviti tersebut hanya mengikut nasib, jika untung dapat duit, jika tidak mereka akan ketagih untuk membeli lagi sehingga kehabisan wang simpanan.

“Ia juga akan menyebabkan berlaku penderaan, kecurian, kemurungan dan keruntuhan rumah tangga apabila ketagih judi,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 17/11/2021

- Advertisement -