Sukanya DAP menangguk di air keruh

- Advertisement -

SAYA tekun menunggu Parlimen memuatnaik Hansard Dewan Rakyat bertarikh 15 November 2021 kerana saya mahu mengulas isu yang dibangkitkan. Petikan hansard yang saya maksudkan berbunyi:

- Advertisement -

“Tuan Sivakumar Varatharaju Naidu [Batu Gajah]: Yang Berhormat Menteri, Batu Gajah. Yang Berhormat Menteri, saya ada satu perkara yang saya hendak bangkitkan. Sebagai sahabat lama, saya hendak menasihatkanlah kepada Yang Berhormat Menteri mengenai satu insiden yang berlaku baru-baru ini. Saya melihat sebuah video yang menular di media sosial di mana Yang Berhormat Menteri Agama dan juga Timbalan Menteri Sumber Manusia, kedua-duanya pemimpin daripada PAS telah berkonfrontasi dengan seorang wartawan wanita. Saya lihat bahasa yang digunakan itu adalah agak kasar dan saya rasa perkara itu seperti ini perlu dielakkan. Ini sebab wartawan itu menjalankan tugas, tanggungjawab. Dia hendak tahu apakah sebab Kerajaan Negeri Kedah telah menutup semua kedai nombor ekor.

“Jadi, tidak salah untuk wartawan itu bertanya soalan seperti ini. Saya faham, ini adalah niat Parti PAS untuk dapat meraih undi di PRN Melaka. Itu adalah strategi. Akan tetapi cara Yang Berhormat Menteri untuk menangani isu ini dengan mengadakan konfrontasi dengan bahasa kasar terhadap seorang wartawan wanita itu adalah sesuatu yang tidak baik.

“Saya minta kepada Yang Berhormat Menteri dan Yang Berhormat Timbalan Menteri untuk memohon maaflah kepada beliau dan juga kepada keluarganya secara terbuka.”

Isu yang dibangkitkan oleh Ahli Parlimen DAP ini adalah berkenaan temubual seorang wartawan portal FMT dengan Menteri di JPM (Hal Ehwal Agama) Senator Ustaz Idris Ahmad, di Gleanmarie yang kebetulan ketika itu Timbalan Menteri Sumber Manusia Dato’ Awang Hashim ada bersama.

Wartawan FMT berkata kononnya orang ramai khuatir mungkin PAS akan melakasanakan perkara yang sama (larangan operasi judi) di negeri-negeri lain (selain Kelantan, Terengganu dan Kedah). Lalu Senator Ustaz Idris terbit dengan respon yang kini tular:

You setuju ka kalau suami you kaki judi, I nak tanya you dulu”.

Kata wartawan FMT“Its not about my family”.

Sambung Ustaz Idris: “I tanya you dulu you kena jawap my question dulu”.

Dan kemudiannya sesi itu berakhir begitu sahaja.

Ada beberapa perkara penting dari kononnya ‘konfrontasi’ yang didakwa Ahli Parlimen DAP itu. Tiada pun dalam rakaman video yang tular itu menunjukkan Ustaz Idris berkonfrontasi dengan wartawan FMT sebagaimana didakwa.

‘Konfrontasi’ menurut kamus DBP bermaksud: “persemukaan (keadaan saling berhadapan) antara dua orang yang bertentangan yakni berselisihan atau bermusuhan.” Tepatkah istilah yang digunakan Ahli Parlimen DAP itu terhadap situasi sebenar? Bermusuhkan Menteri Agama dengan wartawan?

Kasarkah bahasa yang digunakan Menteri Agama ketika itu? “You setuju ka kalau suami you kaki judi, I nak tanya you dulu” adakah kasar bagi Ahli Parlimen DAP?

Sebenarnya yang cuba mencari sensasi adalah wartawan FMT itu sendiri. Beliau melontarkan tanggapan kononnya orang ramai khuatir setelah Kelantan, Terengganu dan kini Kedah, langkah pengharaman premis judi itu nanti akan dibawa ke negeri-negeri lain.

Nampak nakal soalan itu kerana cuba menakut-nakutkan masyarakat seolah PAS punya kuasa luar biasa sehingga mampu memanjangkan pengharaman itu ke negeri-negeri lain. Kuasanya adalah kuasa kerajaan negeri melalui PBT. Jika PAS menguasai satu-satu negeri, tidak mustahil PAS akan memperkenalkannya kerana mandat menguasai negeri diberikan oleh rakyat. Rakyat yang memilih PAS menjadi kerajaan dan sudah pasti pilihan itu kerana rakyat mahu melihat apa yang diperjuangkan PAS terlaksana. Setakat hari ini PAS menguasai Kelantan, Terengganu dan Kedah sahaja.

Ustaz Idris ternyata sudah dapat menghidu maksud soalan wartawan FMT itu. Lalu beliau terbit dengan ulasan berbunyi: “You setuju ka kalau suami you kaki judi?”. Tetapi wartawan FMT itu menyangkakan ia serangan peribadi dan memberi respon: “Its not about my family”.

Sebenarnya memang ia soalan umum dan bukannya bermaksud menghina atau menyerang peribadi wartawan FMTitu atau sesiapa pun. Wartawan itu sebagaimana mana-mana insan normal sepatutunya menjawab ‘Saya tidak setuju’ kerana judi itu sesuatu yang tidak baik. Kenapa perlu kaitkan dengan keluarganya, ia soalan umum.

Ustaz Idris saya percaya cuba membawa mesej bahawa isu pengharaman judi ini adalah sesuatu yang sepatutnya disokong dan diterima semua kerana ia mengelakkan mudharat ke atas individu, keluarga mahupun masyarakat. Memang Islam mengharamkan aktiviti perjudian, tetapi mesejnya di sini aktiviti perjudian ini membawa keruntuhan moral dan mampu merosakkan siapa sahaja tanpa mengira agama mahupun bangsa seseorang.

Sudah sepatutnya ‘Keluarga Malaysia’ yang mahu kita bina memelihara semua dari ancaman keruntuhan moral yang dibawa oleh aktiviti perjudian. Ustaz Idris bukannya berkonfrontasi mahupun menggunakan bahasa kesat sebagaimana cuba diputar-belitkan oleh Ahli Parlimen DAP itu. Beliau cuba memberi penjelasan dengan kaedah Islam, cuma malangnya masing-masing pihak punya agenda lain, memburukkan PAS, menyerang PAS, maka lahirlah pelbagai persepsi yang ternyata jahat dan tidak berasas. Terus tabah dan berkerja Menteri. Berani kerana benar.

ROSLAN SHAHIR MOHD SHAHIR – HARAKAHDAILY 17/11/2021

Sumber Asal: https://m.facebook.com/100009880363600/posts/1642491492756847/

- Advertisement -