Sekat judi, hadkan arak teliti dulu sebelum bantah

KEPALA BATAS: Mana-mana pihak yang membantah tindakan Kerajaan Negeri Kedah menghentikan lesen premis judi dan mengawal penjualan arak perlu meneliti semula bantahan mereka.

Ketua Pemuda PAS Kawasan Kepala Batas, Ustaz Mohd Farid Hamdi Mohd Redzuan berkata, langkah Menteri Besar Kedah, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bertepatan kerana tugas pemimpin adalah memantau dan menjaga kemashlahatan rakyatnya.

Advertisement

“Perkara ini dapat menyangkal dakwaan pemimpin DAP, P. Ramasamy yang menyebut arak dan judi adalah hak orang bukan Islam untuk diamalkan, tanpa melihat dari sudut aspek negatif dari kesan arak dan judi yang tidak dikawal,” kata Mohd Farid Hamdi.

Mengulas lanjut katanya banyak kesan negatif kepada masyarakat akibat daripada aktiviti judi dan meminum arak.

“Contohnya seorang kaki judi sanggup menjual atau mencederakan isteri atau anaknya akibat kalah judi, kaki botol pula boleh berkelakuan luar kawalan misalnya sanggup memperkosa anak kandung atau ahli keluarganya yang lain akibat mabuk,” katanya.

Mohd Farid Hamdi berkata, masyarakat semakin sedar tentang keburukan arak dan judi yang mendatangkan kemudaratan lebih besar berbanding kebaikan.

Sehubungan itu katanya, satu pengawalan yang lebih ketat terhadap perkara tersebut harus dibuat bagi membendung kemudaratan meminum arak dan berjudi.

“Kami yakin ia turut dipersetujui oleh orang bukan Islam dan agama yang dianutinya.

“Persoalannya, adakah Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Ramasamy lebih berminat membela hak bukan Islam dalam dua keperluan kecil ini tanpa melihat atau meneliti perlu adanya pengawalan terhadap aktiviti tersebut supaya tidak berlaku lagi perkara yang tidak diingini terhadap masyarakat.

“Jika atas nama membela hak seperti itu, mungkin kerajaan perlu mengkaji semula undang-undang yang melarang salah guna dadah, racun, dan seumpamanya,” jelas beliau.

Menurutnya lagi, dalam ilmu Islam, Qawaid Fiqhiah secara jelas boleh dibawa dalam menghujahkan kebenaran tindakan Kerajaan Negeri Kedah.

“Tahniah dan syabas diucapkan kepada Kerajaan Negeri Kedah atas langkah proaktif yang diambil dalam isu ini,” ujarnya. – 17/11/2021