Sedia beri undi untuk calon PN, Al-Hafiz

Pak Din (kiri).
- Advertisement -

MELAKA: Penduduk sedia memberi undi kepada calon Perikatan Nasional daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, Muhammad Al Afiz Yahya pada hari pengundian Sabtu ini.

Wakil penduduk yang hanya mahu dikenali Pak Din, 60, berkata beliau optimis Muhammad Al Afiz akan menang.

- Advertisement -

Ujarnya, Muhammad Al Afiz calon yang tepat untuk berkhidmat kepada warga Bukit Katil kerana dikenali dan mesra dengan penduduk.

“Dia (Al Afiz) sangat kenal. Rajin ke surau di sini, qiamullail bersama. Calon (Al Afiz) memang mesra di sini.

“Banyak yang kenal dia, terutamanya penduduk di sini,” kata Pak Din ketika ditemui Harakahdaily dekat sini.

Pak Din juga mengakui cara kempen kaedah baru menyukarkan usaha calon-calon bertanding untuk PRN Melaka untuk memperkenalkan diri kepada pengundi.

“Kempen tak macam dulu, nak perkenalkan calon itu macam kurang sikitlah. Tapi ramailah, calon yang bertanding ada datang beramah mesra dengan kami penduduk di sini,” kata Pak Din.

Katanya, dia dan rakan-rakan bersedia untuk turun mengundi pada Sabtu ini.

“Kami semua sudah bersedia untuk turun mengundi pada 20 November ini,” katanya.

Suhaimi Sulaiman, 51, pula berharap proses pengundian berjalan lancar pada hari pengundian nanti.

“Insya-Allah (Al-Afiz) boleh menang,” tambah Suhaimi yang juga bekas pesara tentera.

Seorang lagi penduduk yang tidak mahu namanya disiarkan berharap calon yang bakal menang nanti tidak melupakan penduduk.

“Dah menang nanti datang lah ke sini selalu, datang temui penduduk tanyakan keadaan penduduk dari segi apa pun. Kalau dah menang rajin rajin lah datang sini,” katanya.

Kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Katil menyaksikan persaingan empat penjuru antara Perikatan Nasional, Barisan Nasional, Pakatan Harapan dan Bebas.

Hanya berbaki tiga hari sahaja lagi untuk 112 calon yang bertanding di semua 28 DUN dalam PRN Melaka menjalankan aktiviti berkempen sebelum hari pengundian pada Sabtu ini, 20 November. – HARAKAHDAILY 17/11/2021

- Advertisement -