PPRT: Kadar bantuan lebih tinggi jika kerosakan kritikal

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) boleh mempertimbangkan kadar bantuan untuk program bantuan rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) melebihi kadar maksimum sedia ada berdasarkan tahap kerosakan yang kritikal.

Timbalan Menterinya, Dato’ Hasbi Habibollah, berkata pertimbangan itu diberikan terutama jika kerosakan itu melibatkan risiko keselamatan.

- Advertisement -

Selain itu, katanya kos tambahan ke atas kadar maksimum bantuan sedia ada meliputi kos pengangkutan, utiliti atau kerja tambahan mendesak lain yang diperuntukkan di bawah kos ekstrem maksimum RM2,000 di Semenanjung dan RM3,000 di Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan (WP) Labuan.

“Kementerian sentiasa berusaha menambah baik pelaksanaan dan penyampaian PPRT dari semasa ke semasa,” katanya menjawab soalan Sabri Azit (PAS-Jerai) di Dewan Rakyat, hari ini.

Sabri meminta Menteri Pembangunan Luar Bandar menyatakan adakah kerajaan bercadang menambah peruntukan bagi baik pulih rumah E-Kasih daripada RM14,000 kepada RM20,000 memandangkan kenaikan kos harga barang yang semakin tinggi dan kenaikan harga yang terakhir adalah pada tahun 2016..

Hasbi berkata, kementerian mahu bantuan di bawah Program Bantuan Rumah PPRT yang meliputi projek baik pulih dan pembinaan baharu rumah dapat dinikmati oleh kumpulan sasar, terutama golongan miskin dan miskin tegar di luar bandar.

Ketika ini, katanya kadar bantuan bagi skop baik pulih PPRT adalah maksimum RM13,000 di Semenanjung dan maksimum RM15,000 di Sabah, Sarawak dan WP Labuan.

Katanya, kos pembaikan rumah pula dibuat berdasarkan kos kerosakan yang dinilai oleh agensi pelaksana KPLB. – HARAKAHDAILY 17/11/201

- Advertisement -