Pimpinan PAS Temerloh santuni mangsa kebakaran

- Advertisement -

TEMERLOH: PAS Kawasan Temerloh menzahirkan simpati terhadap tragedi kebakaran yang menyebabkan empat deretan kedai dan sebuah rumah kayu hangus dijilat api di Kampung Batu 1, di sini awal pagi semalam.

Timbalan Yang Dipertua PAS Temerloh, Hasanuddin Salim ketika berkunjung ke lokasi kejadian melahirkan rasa dukacita dan berharap semua mangsa terlibat agar bersabar menerima ujian qada’ dan qadar Allah S.W.T.

- Advertisement -

Beliau turut merakamkan penghargaan buat pasukan Bomba dan Penyelamat yang segera sampai dan bertindak pantas mengawal dan memadamkan kebakaran serta memastikan keadaan benar-benar selamat.

“Kepantasan pasukan bomba telah dapat mengelakkan kebakaran dari terus merebak ke kawasan sekitar memandangkan kedudukan premis kedai dan rumah-rumah yang rapat antara satu sama lain,” ujar beliau.

Masjid Ubudiah yang terletak bersebelahan rumah kayu terbakar itu didapati turut mengalami kerosakan kecil di bahagian bumbung akibat api marak dalam kejadian itu walaupun hujan turun dengan lebat.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Ismail Abdul Ghani berkata, kejadian jam 4 pagi itu melibatkan 22 anggota dan 5 jentera yang berjaya mengawal kebakaran.

Walau bagaimanapun tiada kecederaan atau kemalangan jiwa dilaporkan kerana penghuni sempat keluar dari premis masing-masing, namun punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Turut hadir menyantuni mangsa memberikan kata-kata semangat dan menyampaikan sedikit sumbangan berupa barangan makanan serta wang saku adalah Ketua Muslimat PAS Negeri Pahang, Ustazah Salamiah Mohd Nor.

Bersama beliau juga Ketua Muslimat PAS Temerloh, Ustazah Alawiyah Kasdan dan Pengerusi Lajnah Kebajikan Muslimat PAS Temerloh, Siti Zakiah Derani di mana mereka juga berharap semua mangsa tabah dengan ujian itu.

“Moga-moga Allah gantikan yang lebih baik dan ini juga ujian buat saudara seislam lainnya untuk menghulurkan bantuan sewajar dan semampunya sebagai tanda prihatin,” ujar Salamiah dan Alawiyah. – HARAKAHDAILY 17/11/2021

- Advertisement -