Pimpinan PAS Maran mulakan siri jelajah ke Cawangan

- Advertisement -

MARAN: PAS Kawasan Maran memulakan tugas dan tanggungjawab kepimpinan sesi 2021-2023 yakni program pertama selepas Mesyuarat Agung Tahunan dengan mengadakan lawatan ke Cawangan Sungai Nerek, di sini kelmarin.

Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Ramli Awang Abdul Rahman mengetuai siri jelajah yang telah diatur berjadual di samping beramah mesra dengan ahli sambil meninjau pergerakan dan perjalanan semua PAS Cawangan.

- Advertisement -

Ketua PAS Sungai Nerek, Ustaz Murad Mustafa ketika menyampaikan taklimat memberitahu bahawa pihaknya telah menyusun organisasi dan setiap Ahli Jawatankuasa juga bersedia melaksanakan arahan parti.

“Kami akan hidupkan kembali usrah dan program yang akan diadakan bagi merapatkan kembali saf pimpinan dan ahli. Juga menyantuni masyarakat yang tergendala dan terbatas akibat pandemik COVID-19,” ujarnya.

Ketua Muslimat PAS Maran, Ustazah Saholyatul Akma Jusoh yang turut serta dalam lawatan dalam ucapannya menyentuh peranan ahli-ahli Muslimat di Cawangan untuk turut sama membangunkan organisasi.

Begitu juga Timbalan Yang Dipertua PAS Maran, Ustaz Mujibur Rahman Ishak yang hadir dan menyeru untuk agenda menyatukan ummah sebagaimana tema Muktamar PAS Ke-67 diperkasakan dalam semua program.

“Jadilah pendamai sekiranya berlaku pertembungan dan bekerjalah kerana Allah dengan meneruskan agenda parti dan sentiasalah mengikut arahan dari pucuk pimpinan,” ujar beliau.

Ustaz Ramli pula dalam ucapannya mengajak semua pimpinan dan ahli PAS Maran untuk tetap kekalkan jati diri PAS biarpun siapa atau apa cabaran didepani, selain sentiasa bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan.

Rombongan pimpinan PAS Maran sempena lawatan itu turut mengadakan ziarah ke rumah beberapa warga emas antaranya Razali Awang, 62, Jeliah Dollah, 83 dan Siti Aishah Din, 82 serta ahli-ahli As-Sabiqun. – HARAKAHDAILY 17/11/2021

- Advertisement -