Persoal keistimewaan Melayu: MP PKR wajib dihukum

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim daripada PKR harus dihukum oleh mahkamah kerana berucap mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu mengenai kedudukan istimewa orang Melayu.

Ahli Akademik, Dr Kamarul Zaman Yusoff berkata, ucapan Hassan itu adalah satu hasutan sebagaimana kes pernah diputuskan Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan terhadap Ahli Parlimen Kinabalu, Mark Koding pada tahun 1978.

- Advertisement -

Mark dihukum Mahkamah Persekutuan kerana menganjurkan supaya Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan iaitu mengenai kedudukan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dirombak ketika berucap di Parlimen pada 11 Oktober 1978.

Hakim-hakim Mahkamah Persekutuan ketika itu tegas memutuskan pengharaman ke atas mempersoalkan kewujudan Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan telah dijadikan mutlak oleh perenggan (c) Seksyen 3(2) Akta Hasutan.

“Dalam erti kata lain, tiada sesiapapun, walaupun beliau adalah seorang Ahli Parlimen sekalipun, yang mempunyai imuniti untuk mempertikaikan kandungan Perkara 152, 153 atau 181 Perlembagaan Persekutuan di mana-mana sahaja, walau di dalam Parlimen sekalipun,” jelas Pensyarah Universiti Utara Malaysia (UUM) itu.

Hassan menyebut bahawa sudah sampai masanya Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan iaitu mengenai kedudukan istimewa orang Melayu dikaji semula semasa berucap di Parlimen pada 10 November baru-baru ini.

“Bila Mark Koding dihukum mahkamah kerana berucap di Parlimen mempersoalkan Perkara 152 tersebut, maka tiada sebab Hassan Abdul Karim tidak boleh dihukum oleh mahkamah kerana berucap di Parlimen mempersoalkan Perkara 153 tersebut,” ujar Dr Kamarul. – HARAKAHDAILY 17/11/2021

- Advertisement -