Oleh SRIHAYANIS ABASRI
KUALA LUMPUR: Kerajaan memastikan kadar pengangguran di negara ini tidak meningkat dengan melaksanakan beberapa program yang juga bermatlamat meningkatkan kualiti hidup rakyat secara keseluruhan.
Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Awang Hashim, berkata sebagai contoh, kadar pengangguran golongan belia yang berumur 15 tahun hingga 24 tahun di Sabah pada tahun lalu adalah sebanyak 17.3 peratus.
Katanya, antara program untuk mengurangkan kadar pengangguran ialah Karnival Kerjaya, Program Insentif Pengambilan Pekerja serta program latihan kemahiran semula dan peningkatan kemahiran melalui penyedia latihan yang dilantik.
“Kerajaan sentiasa berusaha untuk memperluaskan program latihan pekerjaan atau perantisan bagi peningkatan kemahiran, latihan semula dan silang kemahiran kepada golongan belia, termasuk di Sabah.
“Platform peluang pekerjaan yang kerajaan sediakan dalam portal MyFutureJobs juga perlu dimanfaatkan oleh setiap pencari kerja terutama golongan belia,” katanya ketika menjawab soalan lisan Datuk Mohd Azis Jamman (Warisan-Sepanggar) di Dewan Rakyat, hari ini.
Awang berkata, inisiatif PenjanaKerjaya diperkenalkan bagi menggalakkan majikan mengambil pekerja baharu dan ditawarkan elaun mobiliti secara `one-off’ sebagai persediaan untuk bekerja.
Menurutnya, Program Perantisan juga ditawarkan untuk menggalakkan majikan memberi peluang kerjaya kepada lepasan sekolah dan graduan berumur 18 hingga 30 tahun berjumlah 44,843 graduan.
“Bagi Program Perantisan di Sabah, seramai 1,228 graduan telah mendapat peluang mengikuti program ini. Selain itu, Sistem Insurans Pekerjaan (SIP) juga menyediakan program bagi peningkatan modal insan dan kebolehpasaran pekerja,” katanya.
Menurutnya, mereka yang mencari pekerjaan boleh mendapatkan khidmat kaunseling kerjaya, pemprofilan kemahiran, penulisan resume, latihan persediaan temuduga, latihan kemahiran bahasa dan penyampaian serta seminar pekerjaan dalam program SIP.
Katanya, usaha pemerkasaan ekosistem bakat diteruskan dengan program yang berfokus kepada pembangunan kebolehpasaran dan kebolehkerjaan bakat muda negara melalui pelbagai inisiatif.
“Ini termasuk platform analitis penilaian psikometrik bersepadu (MYNext), Program Latihan Industri Berstruktur, Young Employable Students (YES!), Kolaborasi Industri-Akademia (IAC), Program Pengekalan Bakat Tajaan Kerajaan (STAR),” katanya.
Beliau berkata, Sistem Latihan Dual Nasional yang menerapkan kaedah 70 peratus latihan di industri dan 30 peratus latihan di pusat latihan juga dilaksanakan di Sabah dengan penyertaan 21 pusat latihan dan 109 syarikat. – HARAKAHDAILY 17/11/21