DHPP sambut baik akujanji NGO sokong kerajaan larang jual arak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Dewan Himpunan Pendukung PAS Pusat (DHPP) menyambut baik tindakan 11 Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) bukan Islam yang telah memberikan akujanji menyokong keputusan Kementerian Wilayah Persekutuan melarang penjualan arak keras (hard liquor) murah di beberapa premis sekitar ibu kota.

Ketuanya, Senator Balasubramaniam a/l Nachiappan berkata tindakan NGO ini adalah selari dengan pandangan DHPP yang menyedari kesan arak secara umumnya tidak membawa kebaikan kepada masyarakat.

- Advertisement -

“Akujanji NGO ini membuktikan bahawa larangan penjualan arak keras bukanlah satu keputusan semberono oleh kerajaan tanpa mengambil kira pelbagai sudut dan yang pastinya keputusan kerajaan ini adalah bertujuan untuk membina Keluarga Malaysia yang sejahtera dan harmoni.

“Pada pandangan saya, tindakan Kementerian Wilayah Persekutuan adalah tepat pada masanya dan ianya memperlihatkan sikap toleransi kerajaan yang menghormati serta meraikan kepelbagaian agama dan kaum yang ada di negeri ini,” katanya.

11 NGO terlibat terdiri daripada Persatuan Kebajikan Inspirasi Negara, Malaysia Hindu Dharma Mamandram, Pertubuhan Perpaduan dan Integrasi Hindu Malaysia (MAHA), World Hindu Federation – Malaysia Chapter, Dewan Perniagaan Minoriti (MBC), Pertubuhan Pembangunan dan Kebajikan Masyarakat Batu Kuala Lumpur (Pembakti), Pertubuhan Kebajikan Kanak-Kanak Murni, Persatuan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (CPCS), Jaringan Hindu Malaysia (JHIMMA) dan Pertubuhan Kebajikan Senibudaya dan Sahsiah (MyCulture) menyerahkan memorandum menyokong ketegasan Menteri Wilayah.

Memorandum itu diserahkan Penasihat Persatuan Kebajikan Inspirasi Negara, Vasantha Kumar kepada Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Shahidan Kassim semalam sebagai tanda solidariti terhadap pengharaman penjualan arak keras di kedai runcit, kedai serbaneka dan kedai ubat Cina di Kuala Lumpur.

“Perlu saya jelaskan bahawa larangan terhadap arak bukan sahaja oleh agama Islam malah agama Hindu juga melarang pengambilan arak.

“Justeru tindakan diambil menteri untuk mengharamkan penjualan arak keras adalah langkah yang wajar disambut baik oleh semua pihak,” kata Balasubramaniam kepada Harakahdaily. – HARAKAHDAILY 17/11/2021

- Advertisement -