Cinta di langit Kabul, apa ada pada cinta? (siri ii)

- Advertisement -

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR

KESAN
daripada peperangan adalah sangat hodoh dan berangkai. Herat yang damai kami tinggalkan seketika, kenderaan bergerak perlahan terutama apabila memasuki kawasan lapangan terbang Herat. Lapangan terbang yang dipagari tembok batu itu kelihatan gagah dan sombong! Sekatan jalan raya berlapis termasuk pemeriksaan badan oleh anggota keselamatan kerajaan Emiriah Islam Afghanistan. Tim kami dilepaskan dengan mudah tanpa perlu turun daripada kenderaan.

Saudara Shafi, relawan HAS dengan relawan yang lain memudahkan banyak urusan kami di bandara Herat. Tiada penerbangan luar melainkan penerbangan domestik, perang dan ketidakstabilan kerajaan merubah sosioekonomi Afghanistan dengan sangat drastik. Perjalanan udara ke Kabul akan memakan masa selama sejam setengah. Teman-teman mengambil peluang melelapkan mata seketika, hanya tersedar apabila pramugari menyodor minuman serta makanan ringan.

“Mereka tak dihalang bekerja, di kaunter pemeriksaan tiket tadi pun ada staf perempuan,” celah Dr Azahar Yaakob, temanku yang juga suami kepada selebriti dakwah, Dr Norhafizah Musa.

“Dunia kena tipu dengan naratif media Barat, AP, AFP, Reuters, CNN, CNBC, Skyfox, Sky News…mengarut semua ni! Kalau baca dan dengar mereka, Afghanistan macam kena langgar garuda, perempuan langsung tak keluar rumah, mayat di mana-mana dengan lelaki berserban hitam akan jadi polis moral,” aku menambah kuah.

- Advertisement -

Saat pesawat mula merapati Kota Kabul, pemandangan udara sangat indah dengan banjaran gunung yang diseliputi salju putih. “Tengok tu ustaz…salji” Ustaz Wan Azhar menghalakan telefon pintar ke arah tingkap pesawat.

Aku teringatkan kenangan indah di Muree Pakistan serta Wilayah Kashmir 16 tahun lepas. Sayangnya tempat seindah ini tidak didatangi pelancong luar akibat ‘bogey’ pengganas Muslim oleh media Barat. Pembohongan yang diulangi akhirnya akan ditelan masyarakat dunia. Begitu juga Kabul Afghanistan, antara lokasi menarik ialah Lembah Bamiyan yang turut diwartakan oleh UNESCO sebagai tapak warisan.

Urusan di lapangan terbang Kabul sangat lancar, agak suram kerana tiada pelancong luar lantaran politik belum stabil. Antara Syarikat penerbangan tempatan yang beroperasi ialah KAM Air, Ariana Afghanistan manakala saat akhir kami diberitahu adalah pesawat Qatar Airways yang membawa penumpang untuk keluar daripada Afghanistan. “Boleh ajak pramugari Afghanistan kerja dengan syarikat penerbangan tempatan Malaysia,” kata temanku separuh menggatal.

“Buat balik ke Malaysia untuk jadi bibik pun boleh,” tambah seorang lagi rakan, menambah perisa kegatalan. Lelaki tetap lelaki, tak akan sama sekali menjadi tiang eletrik.

Saudara Mutiullah, seorang relawan tempatan mengiringi kami daripada lapangan terbang Kabul ke penginapan di tengah Kota Kabul. Sebuah hotel dengan kawalan keselamatan yang sangat ketat, bahkan berlapis pintu dengan pintu pengesanan badan. Kata anak muda itu, keadaan Kabul Afghanistan belum selamat daripada pelbagai ancaman yang tak diduga. Letupan bom serta pembunuhan sering berlaku, kadang tanpa sebab yang jelas. Amerika yang tertampar malu tak akan membiarkan kerajaan Emiriah Islam Afghanistan boleh mentadbir dengan sukses. Sejumlah USD6.8 bilion duit kerajaan Emiriah Islam Afghanistan dibekukan oleh Amerika. Afghanistan diintai oleh banyak negara untuk campur tangan, China, Russia, Iran dan lain lain negara berkepentingan.

Kemelaratan dan keterpurukan tidak begitu menonjol di kawasan Kota Kabul, namun jika keluar sahaja daripada radius 20 kilometer daripada kota maka kita akan melihat kanvas keperihan serta sketsa penderitaan.

“Puluhan tahun berperang, mereka 40 tahun terkebelakang berbanding Malaysia…tengok kereta Toyota, van, senang cerita itulah Malaysia empat dekad dulu,” tukas Pak Jamu, Timbalan Presiden Yayasan Amal Malaysia. Anak Jawa Klang ini akan berada selama tiga bulan untuk mengawasi projek pembinaan masjid dan madrasah NGO kolaborasi Malaysia.

“Banyak urusan dan projek kebajikan yang Muslim care Malaysia boleh bantu di sini, Kita kena buka jalan untuk NGO serta pelbagai negara umat Islam membantu rakyat Afghanistan…isi perut, pendidikan sangat penting,” ungkap Zulkifli Wahijan, Presiden MCM yang telah membina banyak rangkaian pendidikan di banyak buah negara termasuk di Syria, Afrika, Cambodia.

“Bila perang, kanak-kanak paling terjejas…kadar literasi memburuk…lihat pengalaman awal di Islam Kala, anak kecil berjualan dan mereka buta huruf. Mengharapkan ihsan orang ramai, mereka akan kekal miskin serta kemungkinan boleh terlibat dengan jenayah bahkan akan minat dengan anasir irhabi,” kata Ustaz Kamal Saari, penceramah tersohor yang turut menyertai misi kemanusiaan Afghanistan Muslim care Malaysia kali ini. Anak Pahang ini turut bersamaku di dalam misi kemanusiaan Kashmir dan Pakistan pada tahun 2005 dahulu.  (bersambung) – HARAKAHDAILY 17/11/2021

Penulis ialah anggota misi kemanusiaan Afghanistan Muslim Care Malaysia, pendakwah bebas, dan penulis.

- Advertisement -