Terima kasih Melaka atas layanan mesra

- Advertisement -

PAGI tadi saya berkesempatan singgah bersarapan di Warung Maznah di Alor Gajah. Saya perhatikan ramai juga penduduk bersarapan di sini. Sambil-sambil bersarapan saya sempat bertanya khabar dan mendengar serba sedikit masalah mereka.

Saya kemudiannya ke Tanjung Bidara makan tengah hari di Warung Anak Jeram. Menu lauk ikan keli dan daging masak lemak cili api di sini memang sedap. Seperti selalu, pelanggan yang ditemui berkongsi masalah dan harapan mereka bagi Pilihan Raya Negeri Melaka ini.

- Advertisement -

Saya turut singgah ke Masjid Kampung Al-Anshariah Lubok Redan dan Masjid Al-Syuhada Kem Terendak Sungai Udang untuk menunaikan solat Zohor dan Asar berjemaah bersama penduduk di kedua-dua kawasan.

Pada sebelah petang pula, saya meluangkan masa minum petang di Medan Selera Taman Terendak Permai Sungai Udang. Di sini saya berpeluang menyantuni dan bertanya khabar pelbagai lapisan masyarakat termasuk anggota beruniform. Mereka bercerita banyak perkara dengan saya, terutama hal berkaitan masalah penduduk setempat selain pandangan dan harapan terhadap parti yang bertanding dalam pilihan raya ini.

Alhamdulillah, hampir kesemua penduduk yang saya temui masih bercerita dan berterima kasih atas segala bantuan yang diberikan kerajaan ketika pandemik Covid-19 mula melanda negara.

Sebelum pulang Ke Kuala Lumpur, saya singgah menunaikan solat Isyak di Masjid Al-Hilal Pantai Rondang, Pantai Kundor sebelum menikmati makan malam di Warung Cekodok yang terletak tidak jauh dari masjid.

Terima kasih Melaka atas layanan mesra dan makanan yang semuanya sedap-sedap belaka. Kalau ada lagi tempat makan yang enak-enak di Negeri Bersejarah ini, bolehlah kongsi dengan saya. Insya-Allah, saya boleh cuba bila ke sini lagi. – HARAKAHDAILY 16/11/2021

Tulisan di atas diambil daripada Facebook Pengerusi Perikatan Nasional, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

- Advertisement -