Manfaatkan khazanah ilmu di Perpustakaan Idris Al Marbawi

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad menjemput seluruh rakyat Malaysia untuk memanfaatkan khazanah ilmu yang terdapat di Perpustakaan Syeikh Mohammad Idris Al Marbawi, Masjid Negara.

Beliau merasmikan perpustakaan itu, hari ini.

Menerusi tulisan di laman Facebooknya, beliau berkata, Kamus Al Marbawi memang tidak asing lagi bagi pelajar.

“Cuba bayangkan, semasa kita di sekolah dahulu, kitab Kamus Al Marbawi memang tak asing lagi bagi kita untuk rujukan. Inilah tanda ilmu yang dibawa secara ikhlas oleh ulama seperti Syeikh Mohammad Idris Al Marbawi,” ujarnya.

- Advertisement -

Menurutnya, ia menjadi sumber pahala yang berterusan, walaupun As-Syeikh telah bertemu dengan Allah SWT.

“Hari ini, nama ulama besar ini kita gunakan kepada perpustakaan kita. Ilmunya terus mengalir untuk manfaat bersama, dan semestinya untuk ummah keseluruhannya,” katanya lagi.

Tambahnya, beliau selalu mendoakan agar dirinya dan seluruh rakyat Malaysia terus menerus mencintai ilmu dan sentiasa menggali pelbagai khazanah ilmu yang telah ditinggalkan para alim ulama.

Menurutnya lagi, dengan adanya perpustakaan seperti itu, lebih ramai lagi rakyat Malaysia boleh mendekati dan mendalami ilmu-ilmu Turath dan pelbagai lagi disiplin ilmu Islam.

“Ilmu merupakan bekalan utama untuk kita berbakti kepada agama di dunia dan peroleh rahmat Allah di akhirat kelak,” katanya.

Beliau berkata, sebagai menghargai jasa yang ditinggal almarhum Syeikh, kerajaan telah menyampaikan sumbangan RM15,000 kepada waris almarhum. – HARAKAHDAILY 16/11/2021

- Advertisement -