Judi dan arak: PAS Pulau Pinang selar kenyataan Ramasamy

BADAN Perhubungan PAS Negeri Pulau Pinang menyokong penuh tindakan Menteri Besar Kedah, Yang Berhormat Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk menamatkan dan menghadkan pemberian lesen penjualan arak dan lesen premis perjudian di negeri tersebut bermula tahun hadapan. 

Inisiatif Kerajaan Negeri Kedah tersebut merupakan inisiatif terbaik dalam mengekang dan mengawal isu sosial serta masalah jenayah yang berleluasa melibatkan kumpulan jenayah terancang seperti kongsi gelap yang semakin membarah dalam masyarakat masa ini.

Advertisement

PAS Pulau Pinang turut mempersoalkan tindakan Kerajaan DAP-PH Pulau Pinang yang disuarakan oleh Timbalan Ketua Menteri ll Pulau Pinang, YB Prof. Dr. Ramasamy yang membantah tindakan ini dengan alasan bahawa tindakan ini adalah mengawal hak bukan-Islam, dilihat sangat beremosi dan seolah-olah mempunyai agenda yang tersembunyi. 

Berdasarkan soalan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh ADUN Penaga YB Ustaz Mohd Yusni Mat Piah pada sesi lepas, jumlah pusat perjudian dan pusat penjualan arak berlesen dan tidak berlesen amat membimbangkan dan laporan menjelaskan bahawa ia mula menjadi industri yang semakin berkembang di Negeri Pulau Pinang.

Justeru, kami turut menggesa Menteri Kewangan, YB Dato’ Seri Tengku Zafrul dapat mengkaji dan menjadikan tindakan Kerajaan Negeri Kedah ini sebagai langkah awal bagi mengurangkan lesen perjudian di negara ini, seterusnya, dapat mengurangkan kadar jenayah di negara ini.

PAS Pulau Pinang sekali lagi menegaskan akan kebersamaan kami dalam menyokong usaha dan tindakan Kerajaan Negeri Kedah ini demi kepentingan Keluarga Malaysia dan masa depan generasi pemuda di masa hadapan.

“Islam Menyatukan Ummah

USTAZ MUHAMMAD FAUZI YUSOFF
Pesuruhjaya PAS Negeri Pulau Pinang
16 November 2021 – HARAKAHDAILY 16/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100063498709294/posts/309088081217813/