Haram judi: Ulamak Perlis sokong langkah berani Kedah

- Advertisement -

Oleh NOOR SARA MASHITOH MOHAMAD HANIF

KANGAR:
Langkah Kerajaan Kedah tidak memperharui lagi baharu lesen perjudian di seluruh negeri itu dianggap bertepatan dengan tuntutan syariat Islam.

Ketua Dewan Ulamak PAS Perlis, Ustaz Idris Yaakob berkata, tindakan tersebut bukan sahaja untuk memelihara agama dan kepentingan awam, malah menolak sebarang keburukan dalam masyarakat.

“Aktiviti judi diharam kepada penganut agama Islam kerana ia boleh mengundang mudarat besar kepada individu, institusi keluarga dan masyarakat.

- Advertisement -

“Perbuatan ini mendatangkan kemurkaan Allah, malah sama kedudukan dengan minum arak, menyembah berhala dan perbuatan menilik nasib yang akhirnya menyembabkan berlaku syirik dalam kalangan umat Islam,” katanya di sini.

Ahad lepas kerajaan Kedah mengumumkan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu tidak akan memperbaharui lagi lesen presmis judi dan mengawal penjualan arak.

Idris juga berkata, Dewan Ulamak PAS Perlis menyokong penuh tindakan kerajaan Kedah yang mengambil sikap berani dan proaktif dengan melaksanakan perkara tersebut demi kestabilan rakyat.

“Langkah itu wajar diikuti negeri-negeri lain dan diikuti kerajaan Pusat kerana judi tidak mendatangkan kebaikan kepada rakyat.

“Abaikan suara-suara sumbang oleh segelintir individu atau kumpulan kerana sikap mereka mencerminkan kejahilan mengenai kesan moral kegiatan judi,” ujarnya.

Ketua Dewan Pemuda PAS Perlis, Asrul Aimran Abd Jalil pula berkata, kesejahteraan hidup rakyat akan tercapai dan impian Keluarga Malaysia lebih harmonis tanpa kegiatan perjudian.

“Larangan tersebut pastinya akan mengekang kemudaratan harta dan masalah sosial dan mengelak kemalangan maut akibat pemandu mabuk.

“Usaha ini pasti disambut semua kaum tanpa mengira agama kerana tiada mana-mana agama di dunia yang membenarkan penganutnya berjudi,” katanya. – HARAKAHDAILY 16/11/2021

- Advertisement -