Ada apa dengan bahasa?

- Advertisement -

MALAYSIA telah dijajah selama 446 tahun oleh kuasa-kuasa imperialis. Bermula dengan Portugis dalam tahun 1511, kemudian Belanda, Inggeris, Jepun dan Inggeris sekali lagi sehingga kita mencapai kemerdekaan dalam tahun 1957. Masih terdapat rakyat tempatan yang memandang tinggi kepada bangsa penjajah yang merompak kekayaan negara kita untuk dibawa balik ke negara mereka. Ketika Inggeris berkuasa, orang Inggeris yang datang ke negara ini atau siapa sahaja yang berkulit putih akan dipanggil ‘Tuan’ walaupun mereka adalah seorang pencuci bangsal kuda di negara mereka.

Siapa sahaja yang mengamal cara hidup Barat seperti berpakaian seperti orang Barat atau bercakap bahasa orang Barat akan dihormati dan dipandang tinggi. Gaya pemikiran ini berlarutan walaupun setelah Mat Salleh telah begitu lama meninggalkan negara kita.

- Advertisement -

Dalam tahun 1990 apabila PAS bersama Semangat 46 membentuk Kerajaan Negeri Kelantan, ada yang mempertikaikan keupayaan Menteri Besar, Dato’ Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat, kerana beliau memakai jubah, serban dan kain pelikat bukan kot dan tali leher. Kononnya beliau tidak pandai berbahasa Inggeris dan oleh itu tidak pandai mentadbir negeri. Walaupun beliau boleh berbahasa Arab dan Urdu, pada mereka kelayakan untuk memajukan negara adalah pandai berbahasa Inggeris. Begitu mereka menyanjung orang Inggeris walhal ketika itu kepesatan ekonomi negara-negara Asia telah mengatasi kepesatan ekonomi negara tersebut.

Baru-baru ini ramai yang kagum apabila Menteri Alam Sekitar Dan Air negara, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, berucap dalam Bahasa Melayu pada persidangan perubahan Iklim (COP26) di Glasgow, Scotland. Pada saya ini adalah tindakan terpuji dan berani untuk memartabatkan Bahasa Melayu kerana beliau terpaksa berhadapan dengan pelbagai cabaran. Tetapi bukan kerana tidak berbahasa Inggeris adalah sesuatu yang janggal di pentas antarabangsa. Pada COP26 ramai pemimpin negara-negara dunia yang tidak menggunakan Bahasa Inggeris ketika berucap, di antara mereka adalah Presiden Korea Selatan, Presiden Indonesia, Perdana Menteri India, Perdana Menteri Thailand, Presiden Perancis, Perdana Menteri Kanada dan Canselor Jerman yang menggunakan bahasa mereka sendiri. Cabaran bagi Menteri tersebut adalah komen-komen dari rakyat Malaysia yang mendewa-dewakan bahasa asing. Mereka belum lagi dapat membebaskan diri dari acuan yang ditinggalkan oleh penjajah.

Saya bukan berkata kita tidak perlu mempelajari bahasa asing. Kita perlu menguasai sebanyak mungkin bahasa-bahasa di dunia. Ia akan membuka pintu kepada ilmu-ilmu yang ada pada bangsa tersebut. Tetapi jangan sampai kita menghina bahasa sendiri. Jangan kita memandang rendah kepada bahasa kita sendiri. Kita akan tertipu jika kita bersikap prejudis terhadap bahasa kita sendiri. 

Kadang-kala apabila seseorang itu bercakap di dalam Bahasa Inggeris ada yang menyangka beliau lebih bijak dari mereka yang berbahasa Melayu. Tambahan pula jika diselitkan di dalam ucapan tersebut perkataan-perkataan yang ‘bombastic’. Walaupun dari segi nilai intelektual ianya sama atau mungkin kurang dari ucapan-ucapan mereka yang berbahasa Melayu. Justeru itu cukup mudah untuk membuat sesetengah orang kita kagum. Saya tahu seseorang yang apabila mahu ‘kelihatan pandai’ ketika berhadapan dengan media, dia akan menggunakan Bahasa Inggeris.

Satu masalah besar yang ada pada orang kita apabila menggunakan bahasa asing contohnya Bahasa Inggeris adalah ada yang mahu kita bercakap seolah-olah bahasa tersebut adalah bahasa ibunda atau bahasa pertama kita. Kena bercakap seperti ‘orang putih’. Baru-baru ini terdapat satu video ucapan seorang Menteri di dalam Bahasa Inggeris tetapi sebutan perkataan-perkataan Inggeris beliau adalah ‘terlalu Melayu’. Terdapat netizen yang menganggap Menteri tersebut memalukan. Pada saya tidak ada salahnya kita bercakap Inggeris dengan loghat (accent) Melayu atau apa sahaja loghat. Kita sepatutnya bangga dengan loghat kita. Cuba kita dengar ucapan Bahasa Inggeris pemimpin-pemimpin dunia yang bahasa pertama mereka bukan Bahasa Inggeris. Contohnya Presiden Perancis, Emmanuel Macron. Loghat Perancis beliau terlalu pekat sehingga kadang-kala susah hendak kita fahami. 

Tambahan pula ada pelbagai cara anda boleh bertutur dalam Bahasa Inggeris. Di UK terdapat berpuluh-puluh loghat dan ada di antara loghat ini yang mengelirukan. Ia langsung tidak seperti Bahasa Inggeris. Walaupun RP (Received Pronunciation) merupakan cara bertutur resmi kerana ia digunakan oleh media seperti BBC tetapi terdapat loghat-loghat utama seperti Cockney, Scouse, Geordie, Yorkshire dan banyak lagi digunakan secara meluas. Ini bermakna tidak salah untuk kita bercakap Bahasa Inggeris dalam apa sahaja loghat. Saya boleh meniru loghat Yorkshire kerana pernah tinggal 5 tahun di Yorkshire tetapi lebih merasa bangga jika bercakap Inggeris dengan pelat Jawa atau Bawean. Jika kita tidak bangga dengan asal usul kita, siapa lagi?

DATO’ ISKANDAR ABDUL SAMAD
Bendahari PAS Pusat – HARAKAHDAILY 16/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/100000270189106/posts/4866127523406206/

- Advertisement -