Penjawat awam Terengganu dapat bonus RM700

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Kerajaan Negeri Terengganu memberikan bonus bernilai RM700 kepada para penjawat awam negeri.

Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia sebagai menghargai jasa para penjawat awam yang telah menggerakkan jentera kerajaan demi menjamin perkhidmatan yang terbaik dapat disampaikan kepada rakyat.

“Kerajaan negeri dengan ini mengumumkan pemberian bonus bernilai RM700,” ujarnya semasa membentangkan Belanjawan Terengganu 2022 yang bertemakan Merakyatkan Sejahtera Untuk Semua di Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

- Advertisement -

Selain itu, beliau menzahirkan rasa dukacita terhadap nasib 70 orang pelajar negeri ini yang menjadi yatim dan yatim piatu disebabkan kematian ibu bapa dan penjaga mereka akibat Covid-19.

Katanya, sebagai tanda simpati kerajaan negeri, pemberian bernilai RM500 disediakan untuk mereka dalam bentuk tunai dan caruman tabung pendidikan.

“Sama-samalah kita mendoakan semoga ibu dan ayah mereka ditempatkan dalam kalangan solihin,” ujar beliau.

Menyentuh tahun 2022, kata beliau ia menjadi tahun yang amat penting kepada negeri dan negara ini.

“Tahun untuk kita memacu kembali pertumbuhan ekonomi negeri dan menyejahterakan kehidupan rakyat,” tambahnya.

Beliau yakin dengan kerjasama dan kerja kuat daripada semua pihak bagi menjayakan agenda-agenda yang digariskan dalam Belanjawan 2022 itu akan meletakkan Terengganu pada landasan yang lebih baik.

Adun Ru Rendang itu berpantun sebelum mengakhiri ucapan.

Pergi ke pantai memancing tenggiri,
Pergi ke hutan melihat tempua,
Bersama kita majukan negeri,
Merakyatkan sejahtera untuk semua.

“Hanya kepada Allah SWT jualah saya menyerahkan segala urusan kerajaan ini,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -