Penduduk Kelebang mahu perubahan

Bakri Jamaluddin
- Advertisement -

BAKRI Jamaluddin adalah calon Perikatan Nasional mewakili PAS daripada Dewan Ulamak untuk bertanding pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Melihat latar belakangnya yang berpengalaman dalam menguruskan sebuah organisasi korporat, tidak keterlaluan untuk mengatakan Bakri merupakan hasil program yang diusahakan mantan Presiden PAS, Allahyarham Dato’ Ustaz Fadzil Muhammad Noor, iaitu ‘Memprofesionalkan Ulama dan Mengulamakan Profesional’ suatu ketika dahulu.

Bakri mula mendapat pendidikan awal di Sekolah Kebangsaan Tangga Batu sebelum meneruskan di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Tanjung.

Beliau kemudian menyambung pengajian dalam Diploma Pertanian di Universiti Pertanian Malaysia (UPM) pada 1977.

- Advertisement -

Bakri memulakan kerjaya korporat di Kuala Lumpur Kepong Sdn Bhd dan jawatan terakhirnya sebelum membuat keputusan menyertai politik adalah Pengurus Besar Kanan di syarikat sama.

Berasal dari keluarga yang kurang berada, Bakri menceritakan beliau melalui zaman yang sukar dengan terpaksa menjual pisang untuk menampung duit poket ke sekolah selain menjamah nasi bersama ubi kayu.

Kata Bakri, antara momen penting dalam hidupnya apabila diberi kepercayaan untuk mengusahakan projek kopi untuk Almarhum Tan Sri Yahaya Ahmad.

Disebabkan kejayaan projek itu kata Bakri, DRB HiCOM mendapat kepercayaan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk mengambil alih Proton.

Ditanya mengenai idolanya, Bakri menceritakan beliau mengidolakan mantan Mursyidul Am PAS, Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat yang tampak lembut namun tegas menurutnya.

Katanya, beliau mengikut amalan cara pengurusan Almarhum Tuan Guru Nik Abdul Aziz, iaitu mengasingkan barangan peribadi dan barangan milik syarikat.

Beliau bukan sahaja mengasingkan meja bekerja untuk peribadi dan syarikat, malah turut mengasingkan gula untuk tetamu rasmi syarikat dan kegunaan peribadi rumah.

Ikuti wawancara lanjut untuk mengetahui bagaimana susuk tubuh ini melihat dunia politik dan perancangan beliau untuk rakyat Melaka bersama wartawan Harakahdaily, SYAHIRAH SALLEH dan NUR HASMIRA MOHAMAD.

Harakahdaily: Apakah perasaan apabila mendapat kepercayaan PAS dan juga Perikatan Nasional untuk bertanding menjadi calon mewakili PAS dan Perikatan Nasional bagi PRN Melaka?

Bakri: Pertama sekali, saya bersyukur dan berterima kasih kepada Dewan Ulamak dan PAS Kawasan Tangga Batu kerana mencalonkan saya dan memberi kepercayaan untuk saya bertanding mewakili PAS dan Perikatan Nasional di PRN Melaka.

Apakah antara isu atau permasalah yang dihadapi oleh warga Kelebang dan bagaimana Tuan berhasrat untuk mengatasi masalah itu?

Sebenarnya DUN Kelebang ini, masalah dari segi ekonomi kurang disebabkan kawasannya yang semi-urban.

Terdapat juga kawasan kampung yang mempunyai sawah padi, namun kemungkinan perkampungan tradisi nelayan itu sudah tidak ada lagi disebabkan oleh penambakan yang berlaku.

Oleh itu, saya tidak boleh hendak beri satu kesimpulan disebabkan saya belum melihat secara mendalam isu yang dihadapi rakyat Kelebang.

Kebiasaannya, pengurusan ini, bukan sekadar kita hanya panggil dan bagi satu cadangan berdasarkan kita melihat masalah itu di permukaannya.

Ia perlu dilakukan kajian terlebih dahulu dan melihat secara mendalam apa sebenarnya buat keperluan masyarakat itu.

Jadi, insya-Allah jika saya diberi mandat, saya akan melihat dengan lebih terperinci mengenai permasalahan itu supaya segala masalah itu dapat kita selesaikan dengan cara yang baik.

Sekiranya begitu, bagaimana keyakinan Tuan untuk memenangi hati pengundi di Kelebang?

Sejarahnya, DUN Kelebang ini merupakan kerusi milik MCA, cuma tahun lepas DUN Kelebang dimenangi oleh calon PKR yang juga dari kalangan orang Tionghua.

Perbezaannya kerusi DUN Kelebang dulu dan kini adalah kerana peratusan pengundi Melayu di sini meningkat peratusannya.

Sebelum ini peratusannya lebih kurang 62 hingga 63 peratus, sekarang sudah 67 peratus.

Walaupun peratusan pengundi Melayu semakin meningkat, namun saya sedar, apabila kita menjadi pemimpin dalam sebuah syarikat atau dalam dunia politik, sebenarnya kita harus sedar bahawa di bawah kita itu bukan semuanya orang yang sama bangsa, yang sama budaya dengan kita.

Sebab itu bagi saya, rasa saling hormati, melindungi hak mereka, berlaku adil kepada semua kaum, tidak melakukan diskriminasi, itu merupakan sesuatu kunci utama yang akan kita lihat.

Supaya jika kita melakukan dengan baik, sekali gus ia akan mengangkat imej islam itu seperti yang kita lihat di Kelantan hari ini.

Walaupun kerajaan PAS memerintah berpuluh tahun, kita tidak dengar orang bukan Islam merasa mereka dianaktirikan, atau dinafikan hak mereka sebagai warga negara.

Itu yang harus kita lihat, jadi bagi saya tidak timbul lagi isu mengatakan PAS itu merupakan sebuah parti yang terlalu rasis.

Setakat ini, bagaimana perjalanan kempen Tuan dan bagaimana mood pengundi Kelebang berdasarkan pemerhatian Tuan?

Sekarang saya berkempen melalui ziarah ke masjid dan bertemu dengan pengundi secara tidak formal sahaja, tetapi kalau saya lihat maklum balas dari rakyat, saya lihat seolah mereka mahukan perubahan.

Mereka sebenarnya amat dahagakan seorang wakil rakyat Melayu, kerana sebelum ini mereka tidak pernah mendapat wakil rakyat Melayu.

Begitulah saya melihat mod yang ada, cuma kita tidak tahu sekiranya ada yang mungkin mulut cakap lain, dan hati cakap lain.

Tetapi, daripada pertemuan saya dengan masyarakat, saya lihat modnya begitu, mudahan mereka kotakan apa yang mereka katakan. Tetapi ini pun kita tidak boleh buat satu konklusi.

Memandangkan peratusan pengundi bukan Melayu juga tinggi di Kelebang, apa perancangan Tuan untuk memenangi hati mereka?

Semasa saya berada di Indonesia, sebenarnya saya sudah terbiasa dengan perkara sebegini. Di Indonesia juga begini, walaupun sama bangsa Jawa, tetapi agama berbeza.

Saya anggap perkara ini mudah sahaja, jika kita melayani manusia itu sebagai manusia.

Nabi Muhamad SAW juga sebut, ‘Manusia yang baik adalah manusia yang bermanfaat kepada manusia lain.

Inilah konsep yang kita terapkan kalau diberi mandat, orang bukan Islam tidak perlu bimbang kerana mereka akan dilayan dengan baik sebagai seorang manusia, sebangai insan, dan hak mereka tidak akan kita kurangi.

Bahkan harta mereka pun kita perlu lindungi kerana mereka juga adalah rakyat Malaysia dan warganegara ini.

Adakah Tuan mengalami kesukaran untuk memperkenalkan Perikatan Nasional kepada pengundi memandangkan ia adalah satu gagasan baharu?

Walaupun Perikatan Nasional adalah satu gagasan yang baharu, tetapi sebenarnya parti-parti yang ada di dalam itu adalah parti yang sudah berpengalaman.

Memang Bersatu adalah masih baru, tetapi mereka orang lama dalam politik, begitu juga PAS dan Gerakan dan parti-parti lain di peringkat pusat.

Cuma dalam PRN Melaka ini, agak menggembirakan apabila kita lihat calon yang dikemukakan PAS, Bersatu dan Gerakan terdiri daripada muka orang baru dan anak muda.

Saya yakin, jika generasi baharu yang masuk ke dalam arena politik, mereka tidak terdedah dengan budaya politik yang lama.

Jadi, mudah-mudahan mereka benar mampu untuk melakukan perubahan, dalam masa sama dapat membentuk budaya baharu dalam politik di Malaysia yang lebih mengarah kepada perpaduan, berintegriti dan bersih.

Apakah tawaran pengundi Kelebang dari aspek kemajuan pembangunan, ekonomi dan sebagainya?

Saya tidak boleh hendak menjanjikannya sekarang bimbang sekiranya apabila saya berjanji sedemikian, akan menjadi suatu yang dipegang oleh pengundi.

Oleh itu, saya merasakan lebih baik jika saya mengambil sikap berhati-hati, itu yang yang lebih penting. Sekiranya mereka memberikan mandat kepada saya, kita akan tampil dan membuat kajian terlebih dahulu dan melihat apakah keperluan yang diperlukan masyarakat setempat.

Saya tidak boleh untuk lakukan sedemikian hanya kerana saya hendak mennag pilihan raya. Kita boleh tawarkan untuk buat begini dan sebegitu, tetapi saya memilih untuk tidak.

Bermakna kita perlu membuat satu kajian yang mendalam dan kita akan merancang satu perancangan jangka masa panjang dan jangka masa pendek.

Yang penting, walau apapun yang kita lakukan nanti, pastinya akan memberi manfaat dan pulangan kepada rakyat. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -