Emas tular di Bukit Lata belum sahih

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

TUMPAT: Penemuan objek yang dikatakan seakan emas di Kampung Bukit Lata, Rantau Panjang dekat sini yang tular sejak Selasa lalu, belum dapat dipastikan kesahihannya berikutan kerajaan negeri belum lagi menerima laporan lengkap berhubung pekara berkenaan.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Dato’ Mohd Amar Abdullah bagaimanapun berkata, dalam laporan Pejabat Tanah dan Galian (PTG) serta Jabatan Mineral dan Geosains Kelantan, memang tersenarai beberapa lokasi yang dikenalpasti terdapat mineral emas dalam bumi.

- Advertisement -

Menurutnya, kemungkinan lokasi di Kampung Bukit Lata itu juga terdapat mineral emas, namun ia masih memerlukan kajian khusus untuk mengetahui kesahihan serta kuantitinya.

“Dalam maklumat kita memang ada beberapa kawasan yang ada emas cuma (dari segi) kuantiti kita tidak tahu. Sebagai contohnya di  Kampung Sokor, Tanah Merah serta Jeli dan sebab itu kita keluarkan lesen untuk mendulang.

“Setakat ini, kita belum menerima laporan lagi daripada mana-mana pihak berkaitan penemuan emas di Rantau Panjang itu,” ujarnya kepada media hari ini selepas merasmikan restoran D’Terapung 7 di Pantai Sri Tujuh dekat sini.

Penduduk sekitar Kampung Bukit Lata, Rantau Panjang gempar dengan penemuan objek seakan emas sejak Selasa lalu.

Berkaitan kemunculan arak jenama Timah pula, beliau yang juga Naib Presiden PAS menasihatkan orang ramai terutama bukan Islam mengambil kira sentimen agama lain.

Menurut Mohd Amar, meskipun timah yang dimaksudkan itu adalah sesuatu yang lain, tetapi istilah sebegitu digambarkan sebagai nama seorang wanita Muslim dan jelas menimbulkan kekeliruan.

“Asasnya kita tahu timah itu adalah bijih timah dan bukan nama orang tapi ia boleh menimbulkan kekeliruan,” ujarnya.

Menurut beliau, ia  bukan isu besar kerana syarikat berkaitan sudah tampil menjelaskan keadaan sebenar.

“Namun, kalau boleh jangan lagi ada yang menggunakan isu tersebut sehingga menyentuh sensitiviti,” katanya. – HARAKAHDAILY 15/11/2021

- Advertisement -