Wujudkan agensi sekuriti bekalan makanan negara

- Advertisement -

SAYA melahirkan penghargaan kerana mendapat peluang pada hari ini bersama 25 orang Ahli Parlimen lain untuk turut berbahas berkenaan Bajet 2022 di Dewan Rakyat. Pelbagai isu dan permasalahan rakyat telah diutarakan dan diketengahkan oleh setiap ahli parlimen bagi mematangkan pelaksanaan belanjawan pada tahun depan ini. 

Dalam perbahasan saya hari ini, saya mengambil kesempatan untuk menyerlahkan isu kekurangan bekalan makanan dalam negara. Bagi mengatasi masalah ini, setiap negara perlu mempunyai sekuriti makanan. Sekuriti makanan di sini bermakna semua orang pada setiap masa boleh memperoleh makanan yang mencukupi untuk meneruskan hidup yang sihat dan aktif. Bagi menjamin sekuriti makanan sesebuah negara, kerajaan perlu memainkan peranan penting dalam menjamin bekalan makanan mencukupi.

- Advertisement -

Pada waktu ini, negara kita masih lagi ketiadaan agensi khusus yang bertanggungjawab untuk jaminan bekalan makanan ketika beberapa negara lain telah menubuhkan agensi sama bagi menangani isu itu termasuk Singapura yang mempunyai Agensi Makanan Singapura (SFA) sejak 1 April 2019. 

Saya mencadangkan penubuhan agensi sekuriti bekalan makanan sebagai satu badan berkanun yang bertanggungjawab terhadap akses, jaminan bekalan dan simpanan makanan dalam negara. Agensi ini boleh membina bekerjasama dengan pemain-pemain industri pertanian bagi mempelbagaikan sumber makanan import dan tempatan serta memastikan kelangsungan rantaian bekalan keselamatan makanan yang bermula dari ladang atau bendang sawah..

Dengan penubuhan agensi ini, saya meletakkan harapan agar agensi yang dicadang ini akan melakukan jaringan kerjasama dengan industri perniagaan berasaskan makanan untuk memanfaatkan teknologi bagi meningkatkan produktiviti pengeluaran makanan dan menjalankan penyelidikan berterusan bagi membangunkan inovasi produk berasaskan makanan yang boleh dikomersialkan. Selain itu, agensi ini diharapkan dapat memangkin transformasi industri untuk memastikan keselamatan makanan dapat terjaga serta mempertingkatkan usaha bagi mengurangkan import makanan dari luar negara dan memaksimumkan kebergantungan kepada hasil makanan tempatan.

Kita mahu memastikan dengan adanya inisiatif seperti ini, negara kita tidak mempunyai sebarang masalah bekalan makanan jika berlakunya musibah yang berskala besar datang melanda di peringkat global seperti jangkitan COVID-19 yang pernah menyaksikan negara jiran menghentikan pengeksportan beras dari negara mereka ke negara kita kerana kekhuatiran kekurangan komiditi itu di negara mereka sendiri. Malah, dengan penambahan pantas bilangan penduduk di negara kita, perlunya ada satu agensi yang boleh menganalisa dan mengkoordinasi bilangan atau kuantiti bekalan makanan yang perlu ada bagi menampung keperluan asasi rakyat negara kita ini.

“Islam Menyatukan Ummah”

YB TUAN WAN HASSAN MOHD RAMLI
Ahli Parlimen Dungun – HARAKAHDAILY 12/11/2021

- Advertisement -