Pelan Induk Waqaf Nasional sedang dirangka

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan sedang menyediakan Pelan Induk Wakaf Nasional, iaitu sebuah pelan holistik untuk memperkasa pengurusan wakaf di Malaysia.

Beliau berkata kerajaan akan terus mengangkat wakaf sebagai agenda nasional memandangkan keupayaan konsep wakaf itu yang mampu melonjakkan ekonomi masyarakat serta negara, dan sehubungan itu juga wakaf telah dijadikan sebahagian daripada kerangka Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

- Advertisement -

“Fokus Kelima dan Keenam RMK12 menggariskan peranan kritikal yang perlu dimainkan oleh institusi wakaf dalam membantu Keluarga Malaysia keluar daripada kepompong kemiskinan. Ia selaras dengan usaha mempelbagaikan sumber kewangan bagi membiayai perniagaan dan meningkatkan ekuiti bumiputera,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap merasmikan Waqaf Felda di sini petang ini, dan majlis turut dihadiri Pengerusi Felda Datuk Seri Idris Jusoh dan Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Untuk rekod, fokus kelima RMK12 merujuk kepada usaha membasmi kemiskinan tegar dan merapatkan jurang pendapatan, manakala fokus keenam memperkasa agena bumiputera dan Keluarga Malaysia.

Ismail Sabri berkata selain itu menerusi Bajet 2022, kerajaan telah memperuntukkan dana permulaan RM10 juta bagi memulakan inisiatif Wakaf Halal Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Wakaf Pertanian dan Wakaf Bencana.

Beliau berkata institusi wakaf perlu bersama-sama memainkan peranan untuk melonjakkan sosioekonomi komuniti, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara.

Sementara itu merujuk kepada Waqaf Felda, Perdana Menteri berkata waqaf itu akan melaburkan semula sebahagian keuntungan pelaburan awal yang disumbangkan oleh Felda sendiri dan agensi seperti FGV Holdings Berhad, Koperasi Permodalan Felda, dan MSM Holdings Berhad serta beberapa agensi berkaitan Felda yang lain.

“Sebanyak 30 peratus keuntungan yang diperoleh Waqaf FELDA ini akan diperuntukkan kepada kebajikan, lima peratus akan disalurkan kepada Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan, manakala selebihnya akan dilabur semula,” katanya.

Ismail Sabri berkata objektif penubuhan Waqaf Felda adalah bagi menyokong pembentukan model perniagaan baharu, menyemai benih keberkatan, menyuburkan kebajikan dan sumbangan kepada komuniti serta mengukuhkan kelestarian Felda.

“Ia bagi memangkin ekonomi luar bandar melalui pewujudan peluang-peluang pekerjaan dan perniagaan yang biasanya tidak ditembusi oleh syarikat korporat lain dengan objektif lebih terarah kepada memaksimumkan keuntungan,” jelasnya.

Beliau seterusnya memberi jaminan bahawa kerajaan akan terus mengangkat wakaf sebagai agenda nasional kerana wakaf mampu melonjakkan ekonomi masyarakat dan negara. – BERNAMA

- Advertisement -