Cikgu Hashim mahu selesai masalah tanah terbiar

- Advertisement -

Oleh SYAHIRAH SALLEH

MELAKA:
Calon Perikatan Nasional daripada PAS bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Taboh Naning, Abu Hashim Abdul Samad berhasrat untuk menyelesaikan masalah tanah terbiar di DUN itu sekiranya diberi mandat oleh pengundi Tabong Naning.

Beliau yang lebih mesra dikenali sebagai Cikgu Hashim berkata, dalam tempoh beliau berkempen untuk Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, beliau diberi kesempatan untuk bertemu dengan seorang imam lama di Kampung Brisu.

Menurut Imam itu katanya, isu terbesar yang dialami penduduk di Kampung Brisu adalah lambakan tanah terbiar yang akhirnya menyebabkan hutan semak dan binatang buas seperti babi dan monyet mengganggu penduduk kampung.

- Advertisement -

“Isu besar yang berlaku di kawasan sana adalah tanah terbiar yang akhirnya menjadi hutan, maka adalah binatang buas seperti babi, monyet dan sebagainya.

“Ini menganggu ketenteraman kampung, kadang-kadang menggangu sampai di rumah dan sebagainya,” katanya dalam satu temubual bersama Hijau FM, di sini, semalam.

Cikgu Hashim merupakan bekas Pegawai Pendidikan di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan berpengalaman menjadi guru besar dan guru penolong kanan selama dua tahun.

Beliau juga aktif dalam menabur khidmat sebagai Askar Wataniah dan mempunyai pangkat sebagai pegawai kanan berpangkat Leftenan Kolonel Rejimen Askar Wataniah Melaka dan Pegawai Memerintah Batalion Leftenan Kolonel Rejimen Askar Wataniah Daerah Alor Gajah.

Selain Cikgu Hashim, tujuh calon daripada PAS yang bertanding atas tiket Perikatan Nasional ialah Aziah Mohd Sa’ad (DUN Kuala Linggi), Bakri Jamaluddin (Kelebang), Muhammad Al Afiz Yahya (Bukit Katil), Datuk Kamarudin Sidek (Duyong), Ja’afar Othman (Durian Tunggal), Ahmad Bilal Rahaudin (Serkam) dan Abd Alim Shapie (Merlimau).

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November manakala undi awal pada 16 November. – HARAKAHDAILY 12/11/2021