MENJADI Pegawai Penguatkuasa Agama (PPA) bukan suatu tugas mudah. Cabarannya amat besar, lebih-lebih lagi apabila berhadapan orang yang disyaki dengan berbagai kerenah.
Malah dalam sejarah, pernah seorang Ketua Pegawai Penguatkuasa Agama di Pahang ditembak mati pada 2013, atas keberaniannya menjalankan amanah dan menegakkan kedaulatan undang-undang.
Atas sebab itu, terdapat keperluan untuk setiap PPA mempunyai ilmu dan kemahiran mempertahankan diri, termasuk kemahiran menggunakan senjata api agar ianya dapat digunakan semasa menghadapi ancaman.
Bagi menambah kemahiran tersebut, anggota PPA boleh menghadiri Kursus Pengendalian Senjata dan Latihan Menembak, seperti yang dilaksanakan oleh JAWI semalam. Berpeluanglah juga saya merasa bagaimana sukarnya menembak dan mengendalikan senjata api. Bukan semudah dalam drama televisyen rupanya.
Sekalung tahniah diucapkan kepada pihak JAWI atas inisiatif mengadakan kursus ini. Ingin saya tegaskan kepada semua PPA, kemahiran ini bukanlah untuk disalahgunakan atau untuk melakukan sesuatu yang menyalahi undang-undang.
Semua PPA tetap tertakluk pada undang-undang sedia ada, termasuk Kanun Keseksaan, Kanun Tatacara Jenayah serta Akta Tatacara Jenayah Syariah dalam menjalankan tugas. Ianya tidak lebih sekadar pengetahuan tambahan untuk para PPA, agar dapat digunakan untuk melindungi diri apabila berdepan ancaman.
Semoga Allah permudahkan urusan dan sentiasa melindungi semua anggota PPA yang amanah dalam menjalankan tugas, bagi menegakkan Undang-undang Syariah dan membanteras jenayah syariah di Malaysia. Insya-Allah.
YB USTAZ DATO’ AHMAD MARZUK SHAARY
Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) – HARAKAHDAILY 12/11/2021
Sumber Asal: https://www.facebook.com/100050311487174/posts/443482090672170/