PAS tetap perjuang agenda perpaduan ummah

Tuan Guru Hashim Jasin semasa berucap di Muktamar Tahunan PAS ke-67, baru-baru ini.

KANGAR: Muafakat Nasional (MN) yang dijelma melalui Piagam Muafakat Nasional pada 14 September 2019, malangnya tidak didaftar sehingga sekarang.

Berbeza dengan Perikatan Nasional (PN) didaftarkan bersama dengan parti komponen lain termasuk PAS.

Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Dato’ Hashim Jasin berkata, ikatan MN agak longgar kerana ia tidak didaftarkan.

“Jadi tidak timbul soal muafakat ini masih wujud atau tidak. Apabila MN tidak didaftarkan, jadi tidak timbul soal masih wujud atau tidak.

Advertisement

“Kita pun tahu apa masalah kenapa ia tidak didaftarkan,” katanya ketika dihubungi di sini.

Pada 20 Oktober 2020 Umno dan PAS melalui satu kenyataan bersama mencapai persetujuan untuk mendaftarkan MN secara rasmi dengan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).

Kenyataan bersama itu ditandingi Setiausaha Agung I MN, Tan Sri Annuar Musa dan Setiausaha Agung II MN, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan.

Bagaimanapun projek terbabit difahamkan terperap begitu sahaja selepas Setiausaha Agung Umno bertukar kepada Dato’ Seri Ahmad Maslan.

Begitu juga pelawaan terhadap Bersatu untuk menyertai MN tidak menjadi kenyataan biarpun kedua-dua parti terbabit bersetuju pada peringkat awal.

Tuan Guru Hashim juga berkata, PAS boleh dianggap gagal dalam usaha menyatukan Umno dan Bersatu kerana mereka melalui krisis yang besar.

Bagaimanapun katanya, ada hikmah tersembunyi di sebaliknya di mana PRN Melaka akan memberi kesedaran kepada beberapa pihak yang terlibat untuk bergerak ke arah perpaduan ummah.

“PAS khususnya tidak akan berputus asa untuk terus mengajak Umno ke arah perpaduan ummah, mungkin hari ini kita tidak dapat mencapai kata sepakat.

“Tetapi mungkin selepas ini sehingga PRU-15 dan seterusnya selagi mana matlamat perpaduan ummah tidak tercapai,” ujarnya.

Menurut beliau sekiranya pada PRU-15 Umno tetap mengambil keputusan untuk bergerak solo, PAS tiada hak untuk memaksa mereka.

“Jika Umno masih mahu bergerak solo, selepas ini kita tidak akan paksa silakan.. kita akan terus bergerak dengan apa yang ada.

“Perpaduan ummah adalah satu dasar besar dan luas, kalau belum dapat dicapai di Melaka atau masih belum dicapai pada PRU-15 sekalipun, agenda ini akan tetap diteruskan.

“Inilah keputusan bersama yang dibuat kepimpinan PAS pada muktamar di Terengganu baru-baru ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 11/11/2021