Malaysia sasar pelepasan gas rumah hijau sifar 2050

- Advertisement -

MUHAMMAD ARIF ISMAIL

KUALA LUMPUR:
Malaysia berpandangan proses rundingan bagi melengkapkan pelaksanaan Perjanjian Paris penting bagi memastikan usaha mengurangkan peningkatan suhu global tercapai.

Menteri Alam Sekitar dan Air Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, rundingan kaedah pelaksanaan Nationally Determined Contributions (NDC) dan pembangunan mekanisme kerjasama antara semua negara dimuktamadkan.

Namun beliau berkata, kandungan dalam Perjanjian Paris memerlukan sokongan negara maju bagi melakukan penambahbaik dalam aspek pembiayaan kewangan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti negara maju kepada negara sedang membangun.

- Advertisement -

“Kedua perkara ini juga perlu mengambil kira aspek integriti persekitaran dan kaedah perakaunan yang telus. Bagi tujuan ini, Malaysia sedia bekerjasama dengan semua pihak bagi memastikan kejayaannya.

“Pelaksanaan Perjanjian Paris memerlukan tambahan pembiayaan kewangan, pemindahan teknologi dan pembangunan kapasiti untuk negara membangun.

“Malaysia menyeru semua negara maju untuk memenuhi obligasi mereka di bawah Perjanjian Paris,” katanya ketika berucap di persidangan kemuncak iklim COP26 di Glasgow petang semalam waktu Malaysia. 

Tuan Ibrahim juga berkata, mengambil kira kesan perubahan iklim serta cabaran yang dibawa wabak Covid-19, Malaysia turut mengiktiraf kepentingan pemulihan pasca pandemik menerusi pemulihan hijau.

Bagi tujuan itu kata beliau Malaysia mengemukakan NDC yang dikemaskini iaitu sasaran pengurangan intensiti pelepasan gas rumah hijau merentas ekonomi sebanyak 45 peratus berdasarkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) tahun 2030 berbanding pada 2005.

“Pengurangan intensiti itu dibuat tanpa syarat dan 10 peratus lebih tinggi berbanding sasaran sebelum ini, sasaran NDC Malaysia juga merangkumi tujuh jenis gas rumah hijau berbanding tiga jenis sebelum ini.

“Kita juga mempunyai aspirasi untuk mencapai pelepasan gas rumah hijau bersih sifar seawal-awalnya pada tahun 2050, tertakluk kepada penyediaan strategi jangka masa panjang pembangunan rendah karbon Malaysia pada 2022,” katanya.

Sehubungan itu katanya bagi mencapai aspirasi dan sasaran tersebut, Malaysia bakal mengariskan lapan dasar iaitu berkaitan ‘carbon pricing’ secara berfasa untuk menyokong usaha negara untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau.

Selain itu Malaysia komited untuk mencapai kapasiti penjanaan tenaga boleh perbaharui sebanyak 31 peratus pada 2025 dan 40 peratus 10 pada 2035 bagi mencapai grid kebangsaan melalui Pelan Peralihan Tenaga Malaysia 2021-2024.

“Ketiga ialah aspirasi sasaran perolehan 100 peratus kenderaan rasmi kerajaan yang bukan berasaskan enjin pembakaran pada 2030; keempat mengekalkan sekurang-kurangnya 50 peratus litupan hutan negara seperti yang diumumkan di Persidangan Bumi Rio pada 1992.

“Kelima melaksanakan kaedah ‘natural-based solution’ sebagai asas penyelesaian global bagi mengurangkan kesan jangka panjang seperti penanaman 100 juta batang pokok bermula pada tahun 2021 hingga 2025,” katanya lagi.

Kerajaan juga berhasrat untuk mencapai sasaran sifar sisa yang dihantar ke tapak pelupusan sampah melalui konsep sisa kepada tenaga dan meningkatkan kadar kitar semula kepada 40 peratus dalam tempoh lima tahun akan datang.

Menurutnya juga seluruh bandar di Malaysia akan mengalami perubahan ke arah pembangunan rendah karbon di bawah Pelan Induk Bandar Rendah Karbon dan meningkatkan ketahanan impak jangka masa panjang perubahan iklim melalui pembangunan Pelan Adaptasi Kebangsaan.

Dalam pada itu beliau turut mengumumkan bahawa Malaysia juga bersetuju untuk menyokong Ikrar Global Metana dan Deklarasi Pemimpin di Glasgow mengenai Hutan dan Guna Tanah. – HARAKAHDAILY 11/11/2021

- Advertisement -