Harimau Malaya akan pupus 5-10 tahun lagi

- Advertisement -

Oleh EVA NATASHA SADALI

KUALA LUMPUR: Malaysia dijangka akan kehilangan spesies Harimau Malaya dalam tempoh 5 hingga 10 tahun jika tindakan drastik tidak diambil dengan segera.

Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen Dan Undang-Undang), Dato’ Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata Harimau Malaya diancam kepupusan kerana data menunjukkan populasi spesies ini berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

- Advertisement -

Katanya, mengikut Survei Harimau Pertama yang dilaksanakan antara tahun 2016 hingga 2020, anggaran populasi Harimau Malaya terkini adalah kurang daripada 200 ekor.

“Bagi menangani isu ini, kerajaan mengambil tiga pendekatan untuk memelihara spesies Harimau Malaya di negara ini bagi tempoh 10 tahun bermula tahun ini hingga 2030,” kata di Dewan Rakyat, hari ini.

Sebelum itu, Dr Wan Junaidi memaklumkan kepada Dewan Rakyat bahawa beliau mewakili Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Dato’ Sri Takiyuddin Hassan, yang positif Covid-19, menjawab soalan Che Alias Hamid (PAS-Kemaman), mengenai usaha kerajaan bagi memastikan Harimau Malaya yang merupakan spesies ikonik negara tidak pupus.

Dr Wan Junaidi berkata, pendekatan yang digunakan ialah mengukuhkan usaha menghentikan penurunan populasi Harimau Malaya melalui rondaan penguatkuasaan dan pengawalan serta pemeliharaan dan pemuliharaan habitat semula jadi haiwan liar berkenaan.

Katanya, kerajaan juga akan meningkatkan tadbir urus dan keberkesanan dalam melaksanakan konservasi Harimau Malaya.

“Ini dilakukan melalui penubuhan Pasukan Petugas Kebangsaan bagi Konservasi Harimau Malaya, Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Jabatan PERHILITAN, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah Polis Diraja Malaysia dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan turut memperkasakan inisiatif bagi memastikan kelangsungan hidup Harimau Malaya melalui penyediaan instrumen kewangan inovatif dan skim akreditasi habitat Harimau Malaya. – HARAKAHDAILY 11/11/21

- Advertisement -