‘Apa yang penting PAS nak menyatukan semua’

- Advertisement -

MELAKA: PAS menganggap berdepan dengan Umno dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sebagai ‘pertandingan persahabatan’.

Naib Presiden PAS, Senator Ustaz Idris Ahmad berkata, pertembungan itu tidak mematahkan pendirian PAS untuk meneruskan agenda penyatuan ummah menerusi Muafakat Nasional (MN).

“(MN) Masih wujud macam biasa. Kita tetap (pendirian) untuk mendamaikan supaya perpaduan dalam kalangan kita ini wujud, insya-Allah,” katanya dalam sidang media bersama calon Perikatan Nasional dari PAS, Ahmad Bilal malam tadi, dekat sini.

- Advertisement -

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas penegasan bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional, Tan Sri Annuar Musa mengenai hubungan PAS dengan Umno dalam MN masih wujud meskipun kedua-dua parti itu bersaing antara satu sama lain dalam PRN Melaka.

Ketika ditanya mengenai segelintir persepsi awam terhadap usaha PAS untuk penyatuan ummah hanya untuk mendapatkan kedudukan, beliau menyifatkan persepsi merupakan hal yang tidak dapat dielakkan.

“Persepsi ini hal yang tidak dapat dielakkan terutamanya di media sosial. Ia menjadi satu kebiasaan. Jadi kita kena terima dengan realiti yang berlaku.

“Apa yang penting sikap yang ditonjolkan PAS untuk nak menyatukan semua, (biarlah) orang nak kata itu,” katanya yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama).

Mengenai kenyataan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang mahu PAS tidak menjadi pendamai antara Umno dan Bersatu, Ustaz Idris menegaskan PAS masih kekal dengan pendiriannya.

“Kami (PAS) tetap bertindak sebagai hendak menyatukan, orang nak kata apa itu hanyalah lumrah biasa. Kami kekal dengan pendirian,” tegasnya.

Hadir sama pada sidang media itu, Ketua Pemuda Perikatan Nasional Malaysia, Ir Ts Khairil Nizam Khirudin dan Ketua Pemuda Gerakan, Wong Chia Zhen.

PAS bertanding lapan kerusi atas tiket Perikatan Nasional dalam PRN Melaka yang bertembung dengan Umno melalui Barisan Nasional di DUN Bukit Katil, Taboh Naning, Durian Tunggal, Serkam, Kuala Linggi, Merlimau dan Duyong.

Manakala calon PAS di DUN Kelebang bersaing dengan rakan sekutu Umno, iaitu MCA.

Seramai 112 calon layak bertanding pada PRN Melaka, dengan pertandingan enam penjuru di tiga kawasan DUN membabitkan kerusi DUN Asahan, Duyong dan Gadek.

Sebanyak lima kerusi iaitu DUN Rembia, Machap Jaya, Paya Rumput, Pengkalan Batu dan Bemban pula menyaksikan pertembungan lima penjuru.

Sembilan DUN menyaksikan pertandingan empat penjuru manakala 11 lagi DUN, tiga penjuru.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan tarikh mengundi pada 20 November manakala undi awal pada 16 November.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN pada 4 Oktober lepas setelah empat ADUN menarik sokongan terhadap kepimpinan ketua menteri. – HARAKAHDAILY 11/11/2021

- Advertisement -