Vaksin Covid-19 tempatan fasa 3 kajian klinikal

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pembangunan vaksin Covid-19 di negara ini berasaskan teknologi Messenger Asid Ribonukleik (mRNA) kini dalam kajian klinikal fasa dua dan tiga.

Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ahmad Amzad Hashim, berkata penerokaan bersama University of Pennsylvania, Amerika Syarikat dan University of Chulalongkorn, Thailand itu diperuntuk RM15 juta.

Katanya ia membabitkan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan vaksin berkenaan.

“Kementerian menyediakan dana dalam bentuk geran bertujuan untuk menggalakkan penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi dalam memerangi dan membendung pandemik Covid-19.

- Advertisement -

“Dana khas untuk Covid-19 juga diwujudkan iaitu MOSTI Combating Covid-19 Fund,” katanya menjawab soalan DatukWira Dr Mohd Hatta Md Ramli (Amanah-Lumut) di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau juga berkata, MOSTI menggalakkan pemain tempatan terlibat dalam pengeluaran vaksin Covid-19, di mana insentif khas disediakan.

Menurut beliau kedua-dua projek vaksin Covid-19 iaitu Covid-19 mRNA dan Covid-19 IMR kini berada di peringkat makmal, iaitu bukti konsep sebelum kajian praklinikal (haiwan) dilaksanakan.

Katanya, penghasilan vaksin Covid-19 akan mengambil masa untuk mencapai tahap keselamatan dan keberkesanan melalui kajian klinikal fasa ketiga serta kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), sebelum vaksin digunakan di Malaysia.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata, kajian vaksin Covid-19 sedang dilaksanakan beberapa institusi iaitu Pusat Penyelidikan dan Pendidikan Penyakit Berjangkit Tropika (TIDREC) di bawah Universiti Malaya (UM).

Selain itu Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Institut Penyelidikan Veterinar.

Sementara itu, Amzad turut memaklumkan Institut Genom dan Vaksin Malaysia (MGVI) yang merupakan pusat vaksin negara dilancarkan 1 November lalu, akan menempatkan pakar-pakar bagi menghasilkan vaksin termasuk Covid-19.

Kata beliau kepakaran dalam negara sedang dikenal pasti dan disusun bagi memastikan strategi penubuhan MGVI dilaksanakan dengan sempurna. – HARAKAHDAILY 10/11/2021

- Advertisement -