Usah tuding jari salah mana-mana pihak

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Lapan pakej rangsangan yang diperkenalkan kerajaan Perikatan Nasional ternyata berjaya membantu mengurangkan beban rakyat ketika mengharungi pandemik.

Bekas Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, peruntukan melalui pakej rangsangan itu memberi bantuan langsung kepada rakyat.

Katanya, pakej tersebut yang bermula Pakej Prihatian pada Mac 2020 berjaya mengurangkan beban banyak pihak.

“Jadi kita berharap ekonomi negara mencapai tahap lebih baik selepas era pandemik Covid-19,” katanya yang juga Ahli Parlimen Pagoh ketika membahas Rang Undang-Undang Perbekalan di Dewan Rakyat hari ini.

- Advertisement -

Pakej tersebut diperkenalkan Muhyiddin ketika merajui pentadbiran negara selepas mengambil alih pentadbiran kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH).

Sehingga 24 September lalu, lebih 62 peratus daripada keseluruhan RM530 bilion peruntukan melibatkan lapan pakej bantuan dan rangsangan ekonomi disalur.

Ia memberi manfaat kepada 20 juta rakyat dan 2.4 juta perniagaan.

Muhyiddin juga berkata, semua pihak hendaklah bersama kerajaan membantu memulih ekonomi negara dan bukannya menuding jari menyalah mana-mana pihak.

Menurutnya ketika pendemik Covid-19 menular sebelum ini sistem kesihatan negara hampir lumpuh.

“Ketika menerajui pentadbiran negara saya pernah mencadangkan supaya diwujudkan Pelan Rangka Tindakan Pembaharuan Sistem Penjagaan Kesihatan Malaysia sebagai persiapan awal bagi menghadapi wabak termasuk dari segi logistik.

“Ia menjadi satu pengajaran yang penting bagi menyediakan peruntukan yang besar bagi tujuan itu termasuk membangunkan bidang farmasitikal,” ujarnya.

Kata beliau bidang farmasitikal boleh dibangunkan dengan menggunakan sumber-sumber tempatan yang banyak terdapat di negara ini.

Beliau juga berkata, sektor pendidikan mendapat peruntukan paling tinggi iaitu RM67.1 bilion pada Bajet 2022 yang memperlihatkan kesungguhan kerajaan bagi membangunkan pendidikan negara.

Beliau turut mencadangkan Kementerian Pendidikan memberi tumpuan pelajar yang ketinggalan mengikuti Pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Di Rumah (PdPR) ketika wabak menular sebelum ini. – HARAKAHDAILY 10/11/2021

- Advertisement -