Masih ada yang nafikan kewujudan COVID-19

- Advertisement -

PANDEMIK COVID-19 sudah hampir 2 tahun, tetapi masih ada lagi yang tak percaya COVID-19 itu wujud. Sedangkan sudah banyak kajian dan laporan pakar seluruh dunia menerangkan wujudnya COVID-19. Bahkan seluruh negara di dunia sedang bertungkus lumus untuk keluar dari pandemik ini dengan segera.

Seperti biasa, bagi individu yang masih degil menerima hakikat bahawa COVID-19 itu telahpun meragut jutaan nyawa dan memberi kesan kepada bilion manusia, akan cuba mencari helah apa sahaja yang dikaitkan dengan kewujudan COVID-19.

- Advertisement -

Apabila viral sahaja artikel berkaitan dengan penafian wujudnya COVID-19 mereka akan terus berkongsi dengan rakan taulan dan di media sosial serta mereka memberikan hujah-hujah falasi yang semata-mata ingin menyedapkan hati mereka sahaja.

Contohnya terdapat satu artikel yang kononnya telah ditulis oleh seorang profesor virologi yang mendakwa bahawa beliau telah pun membuat uji kaji ke atas pesakit positif COVID-19. Prof Dr. Robert Oswald, dari Cornell University dipetik membuat ujian electron microscope sampel pesakit dan mendakwa bukannya virus COVID-19 yang ditemui, tetapi virus influenza

Tulisan itu menjadi viral sehinggakan Prof Dr Robert Oswald sendiri mengeluarkan kenyataan penafian. Bahkan beliau menyatakan virus COVID-19 itu wujud dan menjadi pandemik. 

Nasihat saya kepada orang ramai supaya jangan terus percaya segala sebaran yang tidak tahu hujung pangkalnya itu. Bahkan apa yang dipaparkan itu tidak pun menggambarkan perkara yang sebenar berlaku di dalam realiti kehidupan sekarang ini. 

Oleh itu apa saja isu berbangkit berkaitan dengan berita perubatan ini rujuklah kepada pihak yang lebih berwibawa. Terdapat banyak website pihak yang berautoriti menjawab segala tuduhan yang tidak benar [boleh rujuk link di bawah]. Bakinya lagi adalah sama ada kita menggunakan maklumat yang kita terima itu atas neraca ilmu benar atau tidak.

DR SUHAZELI ABDULLAH
Pakar Perubatan Keluarga
Sarjana (Master of Medicine) dalam pengkhususan Perubatan Keluarga Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) – HARAKAHDAILY 10/11/2021

Link Rujukan
[1] National Library of Medicine. NCBI SARS-CoV-2 Resources. https://www.ncbi.nlm.nih.gov/sars-cov-2/ 
[2] VERIFY: Cornell professor says COVID-19 is real, Facebook post is fake. 10 TV Online. https://www.10tv.com/article/news/verify/verify-professor-says-covid-real-facebook-post-fake/507-a763ec65-87b8-4147-b317-1dc7cbef2730

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1033106371/posts/10223840419651754/

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -