7 indikator perlu dicapai sebelum masuk fasa endemik

- Advertisement -

Oleh NOR HAZWANI NOH

KUALA LUMPUR:
Tujuh indikator memasuki fasa endemik perlu dicapai termasuk jumlah penggunaan katil hospital secara keseluruhan kurang 30 peratus.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-tugas Khas), Dato’ Mastura Mohd Yazid berkata, indikator kedua kapasiti ujian di makmal melebihi 90 peratus.

Ketiga kadar kes positif Covid-19 kurang daripada lima peratus. Selain itu jumlah petugas Kementerian Kesihatan (KKM) yang dijangkiti kurang daripada satu peratus dan jumlah pesakit Covid-19 di wad kurang 0.5 peratus.

- Advertisement -

“Indikator kelima jumlah kematian harian kurang daripada 10 kes dan purata kematian tujuh hari kurang daripada 0.8 peratus.

“Indikator keenam kadar insiden kes harian dan terakhir kurang daripada 1,200 sehari, ketujuh kadar vaksinasi populasi secara keseluruhan melebihi 80 peratus,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan Dato’ Che Abdullah Mat Nawi (PAS-Tumpat), pada sesi jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Sebelum itu Che Abdullah bertanya pelan baru yang khusus menjelang era endemik supaya dapat mengembalikan kesedaran rakyat bagi memastikan pengawalan dan pencegahan virus dapat dipasak.

Mastura berkata, kerajaan hanya akan menggunakan satu prosedur operasi standard (SOP) yang merupakan protokol kesihatan umum.

Walau bagaimanapun, kata beliau jika berlaku kes mendadak dan meningkat kerajaan akan memantau dengan sistem high term alert.

“Terdapat hanya dua kategori dalam sistem ini iaitu tinggi atau rendah. Jika dilihat berisiko tinggi kerajaan mungkin akan mengenakan sekatan bagi aktiviti sosial dan bukannya aktiviti ekonomi,” katanya. – HARAKAHDAILY 10/11/2021

- Advertisement -