PM Palestin gesa Kongres AS iktiraf negara Palestin

- Advertisement -

RAMALLAH: Perdana Menteri (PM) Palestin Mohammed Ishtaye pada Isnin menyeru Kongres Amerika Syarikat (AS) untuk mengiktiraf Palestin sebagai sebuah negara yang merdeka berdasarkan garis sempadan 1967 dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu kotanya, lapor Xinhua.

Dalam kenyataan akhbar yang dikeluarkan pada akhir pertemuan dengan delegasi ahli Kongres AS yang diketuai oleh Senator Ben Cardin, Ishtaye juga menyeru anggota kongres AS untuk berusaha meminda Undang-undang AS yang mengaitkan Pihak Berkuasa Kebangsaan Palestin (PNA) dan Pertubuhan Pembebasan Palestin dengan terrorisme.

- Advertisement -

Kenyataan itu menyebut Ishtaye berbincang dengan delegasi itu mengenai masa depan proses damai Israel-Palestin di tengah percubaan Israel untuk menggugat penyelesaian dua negara dengan meneruskan pendudukan Israel dan melanggar hak rakyat Palestin.

Beliau juga meminta AS untuk melaksanakan ikrar yang dibuatnya kepada rakyat Palestin, terutamanya membuka semula konsulat AS di Baitulmaqdis Timur.

Mohammed Ishtaye juga menggesa tetamunya itu membantu menyekat dasar penempatan Israel.

“Bagaimana kita boleh terus bercakap mengenai penyelesaian dua negara sedangkan terdapat 720,000 penceroboh di tanah negara Palestin, dan program penempatan itu diteruskan?” tanya beliau.

“62 peratus daripada tanah Palestin kini di bawah kawalan langsung Israel, dan mereka menjadikannya sebagai kawasan simpanan untuk memperluaskan penempatan mereka,” tambahnya.

Ishtaye juga meminta delegasi itu memberi tekanan kepada Israel supaya membenarkan PNA mengadakan Pilihan Raya Umum di semua wilayah Palestin, termasuk Baitulmaqdis Timur.

Israel menduduki Tebing Barat dan Baitulmaqdis Timur, yang dituntut oleh Palestin, sejak perang Asia Barat 1967, dan telah mengawalnya sejak itu. Rakyat Palestin berusaha untuk menubuhkan sebuah negara Palestin di wilayah itu beserta Semenanjung Gaza. – BERNAMA

- Advertisement -