Calon PN tawar politik solusi kepada penduduk

- Advertisement -

MELAKA: Calon Perikatan Nasional bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelebang, Bakri Jamaluddin berhasrat untuk menawarkan politik solusi kepada rakyat Melaka, khususnya penduduk Kelebang.

Menurut Bakri, jika diberi mandat oleh penduduk, beliau mahu memperkenalkan politik solusi yang bebas daripada politik fitnah, korupsi yang akhirnya menimbulkan rasa benci terhadap politik itu sendiri.

“Kita tahu, anak muda hari ini benci politik. Kenapa mereka tidak suka dengan politik? Kerana mereka melihat ini adalah tempat fitnah memfitnah, bersarangnya korupsi dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Taujihat dan Perkenalan Calon Dewan Ulamak PAS sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Studio Darul Ta’lim, Sungai Udang, di sini, semalam.

- Advertisement -

Katanya, situasi politik di Malaysia membimbangkan sehingga berlakunya perpecahan kaum dalam masyarakat.

Justeru itu kata Ketua Penerangan Perikatan Nasional Melaka itu, beliau akan cuba memecahkan tembok itu bersama untuk membina peradaban baharu.

“Kami akan pecahkan tembok ini dan membawa kita bersama, sama ada dari kalangan anak muda, orang tua, wanita, remaja, orang islam, dan orang bukan islam.

“Kita akan duduk bersama membina peradaban baharu, yang berteraskan kepada politik yang berintegriti, amanah, bersih dan mensejahterakan rakyat,” katanya.

Sementara itu katanya, beliau yakin bahawa calon yang diletakkan PAS bukan sembarangan calon melihat kepada bagaimana prestasi PAS mentadbir sebahagian kementerian dalam Kerajaan Persekutuan.

Menurutnya, kejayaan pemimpin PAS memimpin kementerian di dalam kerajaan membuktikan bahawa PAS juga mempunyai tenaga profesional dan teknorat untuk membantu menteri dan timbalan menteri menyelesaikan masalah rakyat.

Dalam masa sama, beliau juga berharap rakyat bukan Islam di Melaka dapat melihat Kelantan sebagai satu contoh sebuah pentadbiran kerajaan negeri yang tidak mengabaikan orang bukan Islam.

Bakri merupakan Ketua Penerangan PAS Melaka dan berpengalaman menguruskan 98,840 ekar ladang ketika bekerja dengan sebuah syarikat perladangan yang terkenal di Malaysia.

Sebelum memasuki dunia politik, beliau menjawat jawatan sebagai pengurus besar kanan di syarikat sama. – HARAKAHDAILY 9/11/2021

- Advertisement -