Oleh EVA NATASHA SADALI
KUALA LUMPUR: Seramai 202,029 Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar atau penjaga menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM638.9 juta.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM329.6 juta dimanfaatkan kepada 92,265 OKU bekerja dengan pendapatan RM1,500 dan ke bawah melalui Elaun Pekerja OKU (EPOKU) sebanyak RM450 sebulan.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Dato’ Siti Zailah Mohd Yusoff, berkata seramai 83,929 OKU tidak bekerja pula menerima Bantuan OKU Tidak Berupaya Bekerja (BTB) sebanyak RM300 sebulan dengan jumlah keseluruhan RM202.5 juta..
“Seramai 25,835 penjaga OKU atau pesakit terlantar menerima Bantuan Penjagaan OKU/Pesakit Kronik Terlantar (BPT) sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah keseluruhan RM10.8 juta,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Sekijang, Natrah Ismail, mengenai rasional atau tidak pemegang kad OKU yang dikeluarkan JKM perlu memperbaharui kad mereka setiap tahun bagi mendapatkan bantuan bulanan.
Sementara itu, katanya berdasarkan statistik Sistem Maklumat Orang Kurang Upaya (SMOKU), seramai 582,944 OKU berdaftar di bawah JKM, setakat 30 September lalu.
Bagi tempoh antara tahun 2018 hingga 13 Oktober lalu, katanya sebanyak 163,647 permohonan pendaftaran OKU diterima dan 153,627 diluluskan permohonan.
Katanya, OKU berdaftar boleh menikmati pelbagai bantuan dan kemudahan disediakan kerajaan dengan menepati syarat bantuan dan perkhidmatan yang ditawarkan. – HARAKAHDAILY 9/11/21
Berita ini lebih mudah dan cepat dibaca di aplikasi Harakahdaily. Muat turun sekarang!
Sertai saluran WhatsApp Harakahdaily untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!