Jadikan isu di Pulau Pinang untuk tonjol kelemahan PH

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Hampir kesemua keluaran Harakah dipastikan mempunyai isu yang berbangkit di Pulau Pinang.

Ketua Penerangan PAS Pusat, Kamaruzaman Mohamad, berkata pada 4 Febuari lalu, satu artikel telah keluar di Harakah sebagaimana yang diucapkan oleh perwakilan PAS Pulau Pinang semasa membahaskan ucapan dasar Presiden, semalam.

Katanya, Harakah juga telah melantik seorang wakil untuk memahami dan melaporkan isu-isu yang berbangkit di Pulau Pinang, iaitu Zikrullah Ismail.

“Kerana kita mahu menjadikan isu di Pulau Pinang sebagai tumpuan untuk menonjolkan kelemahan PH dalam mentadbir.

- Advertisement -

“Kita tidak meminggirkan Pulau Pinang, bahkan menjadi tumpuan untuk timbulkan segala kelemahan PH yang berlaku,” katanya ketika menyampaikan ucapan penggulungan pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67, di Duyong Marina Resort, di sini, hari ini.

Kamaruzaman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Harakah berkata, Harakah juga mempunyai wartawan dan pengarang berita hampir di setiap negeri untuk mengendalikan isu yang timbul di negeri berkenaan.

Beliau memberi jaminan kepada ahli PAS untuk terus menghubunginya sekiranya terdapat isu besar yang timbul di negeri-negeri dan tidak mendapat liputan Harakah.

Sementara itu, beliau turut mengajak ahli PAS untuk bersama menyokong dan melanggan Harakah demi mendapat maklumat awal berkenaan parti.

“Pastikan setiap hari kita baca Harakahdaily, dan Harakah cetak tolong langgan. Jumlah langganan Harakah cetak sangat rendah berbanding dengan bilangan ahli PAS.

“Sekarang sudah ada eHarakah, hanya RM10 sebulan. Sekali makan sahaja RM10. Langgan untuk pastikan kita dapat maklumat first hand, dari parti kita sendiri,” katanya. – HARAKAHDAILY 7/11/2021

- Advertisement -