PRU15: PAS perlu lihat dengan serius perkembangan anak muda

KUALA NERUS: PAS perlu melihat dengan serius perkembangan anak muda serta menggerakan pendidikan politik kepada golongan itu kerana mereka  akan diberikan tanggungjawab untuk memilih pemimpin negara pada Pilihan Raya Umum akan datang.

Menurut Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, gerakan pendidikan politik kepada pengundi muda penting supaya mereka diberikan maklumat yang betul dan kesedaran dalam membuat pertimbangan bijaksana berpandukan penghayatan kepada Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS).

“Berdasarkan kepada keputusan PRU14 yang lalu, kita melihat anak muda mudah terpengaruh dengan janji palsu dan fitnah yang tersebar di media sosial tanpa membuat pertimbangan yang adil dan matang terlebih dahulu.

Advertisement

“Segala bahan fitnah dan janji palsu yang dikongsikan mempengaruhi pemikiran anak muda sehingga mengakibatkan keputusan PRU14 mengancam kedaulatan Islam dan menggugat keharmonian kaum di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 yang bertemakan Islam Menyatukan UMmah di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

Justeru, PAS perlu tangani golongan anak muda yang fobia dengan politik atau memisahkan politik daripada agama sehingga mengambil sikap tidak peduli terhadap apa yang berlaku kepada negara yang boleh mengundang anasir luar menyusup masuk dalam pemikiran generasi muda.

Demikian itu ujarnya, pendekatan politik PAS adalah bertunjangkan politik Islam, termasuklah penerapan Budaya Politik Matang dan Sejahtera.

“Politik Islam berasaskan beriman kepada Allah dan Hari Akhirat sehingga menjadikan orang beriman yang berpolitik ada perhitungan dosa dan pahala, di samping berusaha untuk menimbulkan kesedaran dan partisipasi politik dalam kalangan rakyat ke arah perubahan negara yang lebih baik.

“Maka, saya mengarahkan kepada Dewan Pemuda, Dewan Muslimat, Dewan Ulamak, Jabatan Penerangan dan Jabatan Pilihan Raya untuk memikul tanggungjawab penting ini bagi menggerakkan pendidikan politik kepada pengundi muda supaya mereka diberikan maklumat yang betul,” katanya.

Mendepani cabaran ini katanya, setiap pimpinan dan ahli perlu berperanan sebagai ‘Agen Penerangan Parti’ secara tersusun supaya mesej yang dibawa oleh PAS berjaya menembusi kelompok sasaran.

“Langkah itu boleh dilakukan dengan memanfaatkan media sosial dan teknologi maklumat yang semakin canggih melalui pendekatan kreatif, berhikmah, dan boleh diterima segenap lapisan masyarakat,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Marang. – HARAKAHDAILY 6/11/2021