Muktamar PAS ke-67, mungkin terakhir sebelum PRU15

- Advertisement -

KUALA NERUS: Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang berkata, muktamar parti itu ke-67 yang diadakan kali ini adalah muktamar terpenting dan berkemungkinan merupakan terakhir sebelum Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menurutnya, muktamar kali ini akan menegaskan hala tuju PAS dalam menuju PRU15 untuk Islam terus memimpin.

Kata beliau, kaedahnya adalah dengan mengekalkan Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri yang dimenangi oleh PAS serta menambah bilangan kerusi dan pengaruh parti di negeri-negeri lain.

- Advertisement -

“Pasca PRU ke-14, kita berjaya mengubah landskap politik (negara) daripada kerajaan yang didominasi bukan Islam yang mengheret (negara) ke arah liberal sehingga berani merungkaikan asas-asas yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Kita mengembalikan kepimpinan kerajaan kepada kepimpinan Islam yang selaras dengan konteks masyarakat majmuk di negara ini,” katanya semasa menyampaikan ucapan dasar pada Muktamar Tahunan PAS ke-67 di Duyong Marina Resort, hari ini.

Menurut Tuan Guru, PAS mengambil jalan melakukan perubahan itu melalui pendekatan menyatukan parti-parti dan kelompok umat Islam yang sedar serta insaf.

Katanya, pada masa sama penyatuan itu disertai kalangan orang bukan Islam yang tidak ekstrem dan memahami realiti demografi penduduk di Malaysia.

Menurut Ahli Parlimen Marang itu, PAS terus beristiqamah atas prinsip Islam serta berjaya melakukan islah dan tajdid mengikut situasi dan realiti yang sangat mencabar kini.

Katanya lagi, PAS kini berjaya menjadi ‘kingmaker’ bersama dengan rakan di dalam Muafakat Nasional (MN) dan Perikatan Nasional (PN) dengan memimpin Kerajaan Persekutuan.

“Kita telah menempa sejarah dengan mengambil alih Kerajaan Persekutuan secara aman dan demokratik daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang memenangi PRU14 dengan penuh pembohongan kepada rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -