Deklarasi Balfour: Pengkhianatan Britain terhadap Palestin dan dunia Islam

- Advertisement -

PADA 2 November 2021, genap 104 tahun “Balfour Declaration“ ditandatangani iaitu satu perjanjian yang disediakan sebagai “framework“ kepada pembentukan sebuah negara haram untuk zionis Yahudi.

- Advertisement -

Hasilnya pada 14 Mei 1948, lahirlah negara haram Israel natijah daripada perancangan jahat zionis Yahudi dan kelemahan umat Islam sendiri.

Britain menjajah Palestin pada tahun 1917 selepas pertempuran sengit dengan tentera Khilafah Uthmaniyyah dalam perang dunia pertama yang kemudiannya menyaksikan Britain dengan segera merangka penghijrahan orang-orang Yahudi ke Palestin sebagai persediaan untuk menubuhkan sebuah negara zionis Israel pada tahun 1948.

Dalam deklarasi tersebut yang bertarikh 2 November 1917, Setiausaha Luar British ketika itu Arthur Balfour memberitahu Lord Lionel Walter Rothschild, seorang pemimpin utama pergerakan zionis Yahudi ketika itu bahawa Kerajaan British berpandangan bahawa adalah sesuai Palestin dijadikan sebuah negara untuk orang-orang Yahudi.

Kemudiannya Arthur Balfour menyatakan bahawa Kerajaan Britain berjanji akan melakukan segala usaha yang terbaik untuk memudahkan pencapaian objektif ini dan dengan jelas difahami bahawa tiada apa yang boleh dilakukan yang boleh menjejaskan hak sivil dan agama masyarakat bukan Yahudi yang sedia ada di Palestin.

Beberapa tahun kemudian selepas Deklarasi Balfour dan isi kandungannya diketahui umum, ramai di kalangan orang-orang Arab terutamanya di Palestin mula merujuk deklarasi tersebut sebagai “Janji daripada sesuatu yang tidak dimiliki“ iaitu merujuk kepada penjajah Britain dan “kepada yang tidak layak menerimanya“ iaitu merujuk kepada orang-orang Yahudi.

Selepas Britain berundur daripada Palestin pada tahun 1948, tanah milik rakyat Palestin telah dirampas oleh kumpulan zionis Yahudi di mana kumpulan tersebut telah menghalau ratusan ribu rakyat Palestin yang kemudiannya telah menubuhkan negara haram Israel. Peristiwa kejam tersebut diisytiharkan oleh rakyat Palestin sebagai “Nakba“.

Kira-kira tiga perempat daripada negara asal Palestin telah dijajah oleh regim zionis Israel, Jordan telah mengambialih pentadbiran Tebing Barat manakala Mesir mentadbir Semenanjung Gaza.

Pada tahun 1967, regim zionis Israel telah menawan Tebing Barat termasuk timur Baitul Maqdis, Semenanjung Gaza, Semenanjung Sinai di Mesir dan Bukit Golan di Syria.

Selepas menandatangani Perjanjian Oslo pada tahun 1993 di antara Palestine Liberation Organization (PLO) dan negara haram Israel, kesemua bandar utama di Tebing Barat kecuali Baitul Maqdis dan Semenanjung Gaza telah diserahkan kepada Pihak Berkuasa Palestin.

Pada 7 Mei lalu, Akhbar The Guardian dari Britain menyatakan kekesalan kerana menyokong Deklarasi Balfour pada tahun 1917 dan menyifatkan ia sebagai “keputusan salah paling buruk yang pernah dilakukan akhbar tersebut“.

Akhbar The Guardian pada 1917 telah menyokong, meraikan dan boleh dikatakan telah membantu merangka serta memainkan peranan penting dalam Deklarasi Balfour.

Akhbar The Guardian menyatakan bahawa pada ketika itu editornya CP Scott telah “buta“ terhadap hak dan perjuangan rakyat Palestin kerana terpengaruh dengan dakyah jahat dan licik kumpulan pergerakan zionis Yahudi.

Kemudian akhbar The Guardian menambah bahawa apa sekalipun yang boleh dikatakan, negara haram Israel bukanlah sebuah negara sebagaimana diramalkan oleh The Gurdian dan juga bukan sebuah negara yang diinginkan.

Muhammad Abu Hashem, seorang penganalisa perundangan di Pusat Hak Asasi Manusia Palestin telah menyatakan bahawa Britain dan negara haram Israel perlu bertanngungjawab sepenuhnya terhadap kezaliman dan kekejaman yang dilakukan ke atas rakyat Palestin di wilayah yang dijajah regim zionis Israel.

Beliau kemudiannya menyalahkan Deklarasi Balfour kerana telah meletaskkan asas kepada pembunuhan beramai-ramai rakyat Palestin oleh regim zionis Israel dan penjajahan berterusan ini adalah satu jenayah yang perlu dikutuk dan dihalang oleh masyarakat antarabangsa.

Muhammad Abu Hashem juga turut menggesa agar diadakan kempen untuk mendesak Britain supaya mengemukakan memohon maaf di atas deklarasi yang membawa bencana kepada seluruh rakyat Palestin.

Mustafa Ibrahim, seorang penulis dan penganalisa politik Palestin menyatakan bahawa pada hari Deklarasi Balfour memasuki tahun ke 104, saat ini juga perjuangan rakyat dan pembebasan Palestin telah berdepan dengan cabaran yang tidak menentu dan dalam keadaan yang amat bahaya.

Perbezaan dalam keseimbangan kuasa antara Palestin dan regim zoinis Israel, sikap berdolak-dalih regim zionis Israel terhadap penubuhan negara Palestin dan semakin berkurangnya sokongan negara-negara Arab terhadap perjuangan rakyat Palestin menjadi ancaman yang amat bahaya terhadap kesinambungan perjuangan Palestin.

Normalisasi hubungan beberapa negara Arab dengan regim zionis Israel adalah amat bahaya kerana sebenarnya ia umpama memberi “lesen percuma“ kepada regim zionis Israel untuk menekan dan melemahkan kedudukan dan perjuangan rakyat Palestin.

Sudah sampai masanya perbezaan ideologi dan pertembungan antara dua kumpulan utama Palestin iaitu Hamas dan Fatah dihentikan dan serta dicari titik persamaan serta perpaduan sebagai formula terbaik di sebalik meningkatnya risiko yang kemudiannya mampu menjadi harapan kepada penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka.

Cukuplah 104 tahun Palestin dan rakyatnya dijajah akibat kecurangan dan kelicikan penjajah Britain yang menghadiahkan Palestin kepada zionis Yahudi akibat Deklarasi Balfour. Kemerdekaan Palestin sepenuhnya adalah sinar baharu buat rakyatnya dan Dunia Islam.

Ketika mana Dunia Islam dan nasib rakyat Palestin berada dalam kegelapan, penyatuan dan kesepakatan Dunia Islam memperjuangkan pembebasan dan kemerdekaan Palestin mampu membangkitkan semula keagungan Islam di seluruh alam.

Semoga Palestin dan rakyatnya mampu memperolehi kemerdekaan tidak lama lagi insyallah.

Islam Memperkukuh Perpaduan.

YB USTAZ MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa dan Hubungan Luar PAS Pusat.
ADUN Batu Buruk. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -