Agenda usrah kini dilaksana di peringkat kerajaan

- Advertisement -

Oleh AIN MANAF

KUALA NERUS:
Agenda-agenda yang selama ini hanya diutarakan melalui usrah, ceramah, kuliah dan program-program dalaman parti sekarang boleh dilaksanakan di peringkat kerajaan.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan berkata, kerajaan Persekutuan yang bertunjangkan kekuatan Melayu-Islam membuka ruang kepada PAS mengisinya.

Katanya, pengalaman dan pendedahan praktikal berkerajaan di Persekutuan menambahkan keyakinan tentang besarnya tanggungjawab yang boleh dilaksanakan untuk kesejahteraan rakyat.

- Advertisement -

“Kerajaan yang dibentuk hari ini cukup prihatin dan meletak kesejahteraan rakyat sebagai agenda utama dalam keadaan menghadapi krisis ketika ini.

“Selama 20 bulan kita dapat merasai keharmonian hubungan Persekutuan dengan negeri-negeri kita yang sering terpinggir sebelum ini kerana perbezaan politik.

“Tetapi sekarang pembangunan dan kemajuan berskala besar sudah mulai dilaksanakan di negeri-negeri tersebut.

“Kita juga menyaksikan beberapa tindakan kerajaan Pusat yang pada awalnya menyentuh sensitiviti umat Islam berjaya ditangani dengan baik disebabkan pegangan serta ketegasan PAS sebagai sebahagian daripada komponen parti yang memerintah,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan ucapan sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-67 di Duyong Marina Resort, di sini hari ini.

Turut hadir sama, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Timbalan Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Ibrahim Tuan Man.

Mengulas perkembangan sama beliau berkata, perkara itu juga membuktikan besar manfaat PAS berada dalam pemerintahan persekutuan demi kesejahteraan dan kebajikan rakyat.

“Kemenangan yang sedang uruskan sekarang wajib dipertahan dan diisi sebaik-baiknya supaya adil di sisi Allah SWT dan juga di sisi rakyat,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 6/11/2021

- Advertisement -