PAS yakin kesepakatan tiga parti Melayu dicapai

- Advertisement -

Oleh SALMAH MAT HUSAIN

- Advertisement -

KUALA NERUS: PAS berkeyakinan kesepakatan antara parti-parti dalam kerajaan hari ini akan dapat dicapai bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.

Setiausaha Agung PAS, Dato’ Seri Takiyuddin Hassan berkata, walaupun penamaan calon bagi PRN Melaka hanya berbaki dua hari lagi, namun rundingan masih berlangsung.

Katanya, PAS berusaha sedaya mungkin bagi mengelak berlakunya pertembungan antara PAS, Umno dan Bersatu.

“Sewajarnya parti-parti yang ada dalam Kerajaan Persekutuan hari ini tidak bertanding menentang satu sama lain.

“Usaha itu dilakukan Presiden PAS Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang sendiri dan sememangnya kita harap sedemikian,” katanya pada sidang media sempena Muktamar Tahunan PAS kali ke-67, di Duyong Resort, semalam.

Kata beliau PAS bertindak sebagai pemudah cara supaya tidak berlaku perpecahan dalam kalangan parti-parti Melayu.

“Di Melaka ini, ada 28 kerusi kalau bahagi tiga itu sudah banyak dapat. Dalam sembilan atau 10 seorang bagi setiap parti.

“Kita perlukan hanya 19 kerusi untuk dapatkan majoriti dua pertiga. PAS boleh bertanding 28 kerusi tetapi kita tidak mahu ada pertandingan tiga penjuru, jadi kita cuba elak,” ujarnya.

PRN Melaka diadakan susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri Melaka pada 4 Oktober lepas ekoran empat Adun menarik sokongan terhadap Ketua Menteri Dato’ Seri Sulaiman Md Ali.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 20 November sebagai hari pengundian manakala 8 November penamaan calon dan 16 November pengundian awal. – HARAKAHDAILY 5/11/2021

- Advertisement -