Cermat dan halus

- Advertisement -

PERBAHASAN rentas agama sepatutnya diikuti dengan realiti semasa hari ini, tidak berpada dengan aliran yang lama. 

Kesemua aliran ideologi berevolusi dan berkembang. Ia berbeza dengan ajaran Islam, walaupun mempunyai ruang keanjalan yang luas, tetapi tetap memiliki unsur keaslian yang kukuh dan tetap sepanjang masa. 

- Advertisement -

Agama ini bukan terhad dalam soal hukum sahaja, bahkan praktikal dalam kehidupan yang perlu dicermati pelbagai aspek dan elemen sekitar. Memahami Islam adalah satu cara hidup bermakna ia mesti sebati dengan umat dan masyarakat.

Pun begitu, mesti tahu beza di antara hidup beragama dengan pelbagai anutan lain. Menghormati keragaman agama, tidak pula bermaksud perlu terjun dalam agama lain. Tentu ada beza di antara Pluraliti dan Pluralisme agama.

Dr. Nasir Muhammadi, dalam satu bukunya Interaksi dengan Non Muslim di Era Nabi, menjelaskan maksud kebebasan beragama kepada dua makna. Yang pertama tidak memaksa orang untuk menganut ajaran kita, dan kedua kita bebas mengamalkan agama sendiri sebagaimana yang dikehendaki dan dibenarkan. 

Tidak pula menyebutkan untuk kita meraikan dan menyambut aktiviti agama lain hanya dengan alasan mahu dilihat harmoni lagi terbuka. Menarik tangan orang kepada cahaya Islam, bukanlah satu keperluan pun untuk kita menyalakan cahaya anutan lain. 

Ya, topik ini sensitif dan halus. Sememangnya pandangan Dr Ghalib Ali Awaji suatu yang penting untuk dinilai. Kata beliau ‘Adalah satu kegagalan pendakwah sejak awal apabila terus meletakkan hukum sebelum berhujah dan jelas dalam sesuatu perkara’. Begitu juga satu petanda kejahilan, apabila kita bertindak terhadap sesuatu yang kita tidak ada ilmu mengenainya. 

Membelek karya dan topik ideologi mampu membuka satu dimensi penting dalam dakwah, supaya cermat dan halus dalam perlakuan. Buku Tren Pluralisme Agama karya Dr. Anis Malik Toha cocok untuk dibaca.

USTAZ MOHD ADLAN MOKHTARUDDIN
Penolong Rektor II (Hal Ehwal Pelajar)
Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) – HARAKAHDAILY 5/11/2021

Sumber Asal: https://www.facebook.com/1222987424/posts/10226644258792310/

- Advertisement -