Banjir kilat di Malang, sekurang-kurangnya 8 maut

- Advertisement -

MALANG: Pasukan penyelamat Indonesia bergegas hari ini untuk mencari mangsa yang terselamat di bawah lereng bukit yang dipenuhi lumpur selepas banjir kilat melanda dua bandar di pulau Jawa, Kota Malang dan Kota Batu mengorbankan sekurang-kurangnya lapan orang, lapor agensi bencana itu.

Hujan lebat pada Khamis (semalam) telah menyebabkan banjir kilat di dua bandar di lokasi tanah tinggi, Kota Malang dan Kota Batu di Jawa Timur yang membanjiri kediaman penduduk dengan lumpur dan serpihan, manakala tembok air memusnahkan jambatan tempatan.

- Advertisement -

Enam orang ditarik keluar dari timbunan lumpur dan serpihan akibat banjir kilat berkenaan dalam keadaan hidup, manakala penyelamat menemui setengah dozen mayat di Kota Batu dan dua lagi mangsa di Kota Malang. 

Terletak di tengah wilayah pergunungan pada ketinggian 400 meter di atas permukaan laut, Kota Malang merupakan bandar kedua terbesar di Jawa Timur selepas Surabaya. Sementara Kota Batu pula terletak 90 kilometer sebelah barat daya Surabaya atau 15km di barat laut Kota Malang. 

Pada hari ini (Jumaat), pasukan penyelamat berlumba-lumba mencari beberapa lagi orang yang tidak dapat dikesan di Kota Batu, menurut agensi mitigasi bencana nasional Indonesia, ketika beberapa mayat dimasukkan ke dalam beg-beg mayat.

“Sehingga kini, kami masih berusaha mencari tiga orang yang masih hilang,” kata pengerusi agensi bencana berkenaan, Abdul Muhari dalam satu kenyataan.

Tanah runtuh maut dan banjir kilat adalah perkara biasa di seluruh kepulauan Asia Tenggara semasa musim hujan, yang bermula pada bulan September setiap tahun.

Pada 25 Oktober tahun ini juga, hujan lebat telah menyebabkan banjir kilat di 10 titik Kota Malang, selain sebuah masjid dilaporkan rosak akibat disambar petir. Selain banjir kilat, Kota Malang turut terdedah dengan bencana alam lain termasuk tanah gelongsor dan angin puting beliung.

Bencana sering disebabkan oleh penebangan hutan dan perancangan tebatan yang lemah, menurut pakar alam sekitar Indonesia. Tujuh orang terbunuh dalam kejadian tanah runtuh yang dicetuskan oleh ribut kuat di Sumatera bulan lepas.

Pada bulan April, lebih 200 orang terbunuh dalam gugusan pulau-pulau di timur jauh di Indonesia dan negara jiran Timor Leste apabila Taufan Tropika Seroja mengubah komuniti kecil menjadi tanah terbiar lumpur dan pokok-pokok yang tumbang. – HARAKAHDAILY 5/11/2021