Mayat pemuda lemas ketika memukat ikan ditemukan

- Advertisement -

Oleh SARINA ISMAIL

KUBANG PASU:
Mayat Mohamad Omar Ismail, 25, yang dipercayai lemas semalam dijumpai jam 9.30 pagi tadi kira-kira tiga meter dari tempat kejadian.

Menurut Ketua Pemuda PAS Kawasan Kubang Pasu, Ku Abdul Muhyi Ku Abdul Hamid, mangsa hilang kawalan dan dibawa arus ketika memukat ikan di sawah padi bersama bapa mertua berhampiran rumahnya, Kampung Bukit Berangan, kira-kira jam 12.45 tengah hari.

- Advertisement -

“Mayat Omar dijumpai tidak jauh dari tempat kejadian. Difahamkan beliau turun ke bendang (sawah padi) tujuan memukat ikan tetapi hilang kawalan ketika berenang kerana arus kuat,” jelasnya.

Katanya lagi, lokasi tempat mangsa turun itu berhampiran sungai, sementara sawah padi itu kedalamannya kira-kira 1.5 meter.

Menurutnya kawasan sawah padi itu dipenuhi air bah ekoran banjir melanda di kampung berkenaan.

Beliau juga berkata, operasi mencari mangsa dilakukan anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba dan dibantu Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kedah dimulakan semalam sebelum dihentikan pada 10 malam sebelum disambung semula 9 pagi tadi.

Allahyarham merupakan anak tunggal kepada ahli jawatankuasa Dewan Muslimat PAS Kubang Pasu, Cik Putih Khamis, meninggalkan seorang isteri serta anak berumur setahun.

Mayatnya kemudian dibawa ke hospital untuk proses bedah siasat. – HARAKAHDAILY 4/11/2021

- Advertisement -