Apabila keputusan dibuat, kita taat

- Advertisement -

PAS dalam satu kenyataan rasmi pada 1 November 2021, telah membuat keputusan untuk menggunakan lambang PN dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka yang dijadualkan pada 20 November ini. Ia sebagai jawapan kepada desakan Umno untuk PAS menggunakan lambangnya sendiri dalam PRN itu dan tidak menggunakan lambang PN.

Keputusan PAS itu sebenarnya tidaklah menjadikan hubungan dengan Umno dalam Muafakat Nasional putus. Sebaliknya, ia bergantung kepada sejauh mana Umno boleh menerima keputusan PAS yang pastinya tidak mahu dipaksa oleh mana-mana pihak. Apatah lagi jika ia boleh merobekkan hubungan dengan BERSATU. Buat masa ini, PAS bertindak menjaga kedua-dua rakannya.

- Advertisement -

Nelson Mandela pernah menempelak seorang wartawan yang memberikan soalan provokasi kepada beliau dalam satu sesi soal jawab. Wartawan itu membuat andaian dengan mendakwa pemimpin yang Nelson dekati seperti Yaser Arafat, Muammar Ghadafi, Fidrel Castro sebagai tidak mengamalkan ‘human right’. Nelson menjawab dengan tenang, kesilapan Barat dalam memahami situasi politik ialah mereka menganggap musuh mereka itu, mesti menjadi musuh kepada orang lain juga.

Selain itu beliau juga menerangkan bahawa Afrika Selatan mengalami kepayahan yang tersendiri dalam menghadapi sistem Apartheid yang memeritkan mereka. Maka sikap Afrika Selatan kepada negara-negara lain adalah berdasarkan kepada sikap negara itu terhadap kesusahan yang Afrika Selatan hadapi sebelum ini. Mandela tidak tunduk dengan paksaan negara luar untuk mengiktiraf mana-mana pemimpin.

Maka pada saya, ia menjelaskan sikap PAS bahawa tindakan untuk tidak meninggalkan kawan iaitu BERSATU, ketika mereka sedang tersepit kerana dibenci Umno, adalah manifestasi keikhlasan PAS berkawan dan cara membalas kebaikan kawan yang pernah membantu PAS. Ia bukan suatu kepelikan bagi yang mengenali PAS. Sentiasa PAS bersikap begitu, sanggup bersusah payah bersama kawan.

Sudah banyak dinyatakan dalam sejarah, PKR contohnya adalah salah satu rakan politik PAS dahulu. Bukan sahaja tenaga, jentera, malahan wang ringgit juga PAS hulurkan bagi sesetengah calon PKR yang bertanding sehingga kini belum dibayar semula. Begitu juga DAP, PAS bersikap lunak, tidak mahu mencari pasal, sehinggalah sikap sebenar DAP dizahirkan. Lihat dalam Kerajaan Selangor dahulu, merekalah yang sibuk mendesak MB untuk membuang ADUN PAS dari jawatan Exco.

Dalam beberapa PRK, PAS hanya menjadi pembantu kepada jentera Umno dan BN, walaupun belum ada apa-apa perjanjian dengan kedua-duanya. Tetapi atas dasar memenuhi kehendak rakyat menolak PH, maka PAS mengarahkan ahlinya di kawasan PRK terbabit, menyokong calon BN. Sehingga kini, PAS belum ada apa-apa ikatan dengan BN, hanya dengan Umno. PAS tidak meminta kerusi Umno dalam PRK dikosongkan bagi memberikan laluan kepada PAS sebagai rakan Umno, tidak pernah.

Atas dasar mahu mengikat persaudaraan seagama dan sebangsa juga, PAS sedia bekerjasama dengan BERSATU, yang pada waktu sebelum PRU14 dahulu, PAS menolak sebarang kerjasama dengan BERSATU, kerana mereka berada dalam PH yang mana, DAP ada bersamanya. PAS mahukan Islam dan Melayu menjadi tonggak kepada politik negara ini. Jadi sangat betul tindakan PAS mengikat hubungan dengan kedua-duanya, Umno dan BERSATU.

Manakala Umno jika mereka menghadapi masalah dengan BERSATU, PAS tidak boleh berbuat apa-apa. Tetapi tinggi harapan PAS untuk menjadi orang tengah bagi mendamaikan keduanya. Apa pun yang BERSATU lakukan, mungkin tidak baik bagi Umno, dan sebaliknya. PAS boleh memahaminya. Tetapi jika kedua-duanya berkorban demi umat, adalah sesuatu yang amat tinggi nilainya. Mungkin kalau boleh Auz dan Khazraj dijadikan contoh?

Bagi ahli dan penyokong PAS, sebenci mana sekalipun dengan keputusan, kita kena taat kerana keputusan ini ialah keputusan strategi, bukannya melibatkan akidah. Pimpinan duduk secara berjemaah, bermesyuarat menentukan apa tindakan terbaik. Terkadang dibincang pula dengan pimpinan jemaah-jemaah Islam lain dari seluruh dunia, meminta pendapat. Dan kita pula duduk di depan komputer atau telefon bimbit, mengkritik keputusan, tanpa ilmu. Memalukan.

Akhirnya keputusan telah dibuat PAS. Suka atau tidak, kita taati. Inilah kekuatan PAS. PAS bukan satu barang mainan yang boleh diperkotak katikkan oleh orang lain. Pihak lain tidak boleh mencaturkan PAS. Sudah banyak bukti keputusan pimpinan adalah tepat dan PAS mendapat keuntungan. Hanya masa yang membuktikannya. Bukan kerana kebijaksanaan pimpinan sangat, tetapi bantuan dari Allah itulah yang penting kerana kita duduk dalam jemaah. Yakinlah.

MOHD NASIR ABDULLAH – HARAKAHDAILY 4/11/2021

PENAFIAN:
HarakahDaily tidak bertanggungjawab terhadap pandangan yang dikemukakan daripada artikel ini. Ia pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian HarakahDaily mahupun pendirian rasmi PAS. Segala risiko akibat penyiaran ini menjadi tanggungjawab penulis sendiri.

- Advertisement -