Tingkatkan pembangunan kawasan sempadan Kelantan-Thailand

- Advertisement -

Oleh ZIAUDDIN SHARUDDIN

KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Tumpat meminta kerajaan memberi tumpuan terhadap pembangunan di wilayah sempadan negara ini di Kelantan dan selatan Thailand.

Dato’ Che Abdullah Mat Nawi, berkata ini melibatkan projek infrastruktur yang sudah lama dirancang, iaitu pembinaan jambatan Pengkalan Kubor di Kelantan ke Takbai, Thailand, yang menjadi laluan perhubungan utama antara kedua-dua negara.

- Advertisement -

Katanya, rancangan pembinaan projek jambatan itu menjadi sebahagian projek pembangunan strategik bersama wilayah sempadan Malaysia dan Thailand yang ditandatangani sejak tahun 2012.

“Di kawasan Thailand, kerajaan negara jiran telah membangunkan jalan raya menuju ke kawasan sempadan Malaysia. Malangnya di kawasan negara ini menuju ke Thailand masih tidak dibangunkan secara serius oleh kerajaan,” katanya ketika perbahasan Bajet 2022 di Dewan Rakyat, hari ini.

Che Abdullah berkata, pembinaan jambatan itu bukan sahaja penting bagi memudahkan perhubungan antara Malaysia dan Thailand, bahkan meningkatkan urusan perdagangan kedua-dua negara.

Menurutnya, kewujudan jambatan itu dapat memperluaskan kepentingan zon bebas cukai Pengkalan Kubor yang secara tidak langsung memberi impak positif terhadap ekonomi, termasuk pelancongan di Kelantan.

Berhubung projek pembangunan Lembangan Bersepadu Sungai Golok, katanya projek itu yang difahamkan bernilai RM1 bilion dilakukan dalam tiga fasa dengan fasa pertama siap pada April 2020.

“Oleh itu, saya ingin bertanya bilakah fasa dua akan bermula dan adakah ada garis masa khusus fasa dua. Adakah ia termasuk dalam perancangan projek pembangunan infrastruktur pembinaan tembok banjir di Rantau Panjang seperti yang dinyatakan dalam Bajet 2022,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/11/21

- Advertisement -