Polis guna dron cegah penyeludupan di sempadan

- Advertisement -

Oleh MUHAMMAD ARIF ISMAIL

BACHOK:
Bagi mencegah kegiatan penyeludupan dan jenayah rentas sempadan, Polis Kelantan menggunakan kepakaran Unit Anjing Pengesan (K9) dan dron.

Ketua Polis Kelantan, Dato’ Shafien Mamat berkata, aktiviti tersebut dikesan begitu aktif berlaku di 28 pangkalan haram sepanjang sempadan Malaysia dan Thailand.

“Kita bersedia untuk melaksanakan tugas ini untuk mengawal kawasan sempadan negara yang melibatkan pangkalan haram dengan dibantu pelbagai agensi keselamatan.

- Advertisement -

“Oleh itu kita akan menggunakan Unit Anjing Pengesan (K9) dan teknologi dron bagi memantau dan mencegah perbuatan itu dari udara dan darat,” katanya pada sidang media selepas mesyuarat Ketua Polis Kelantan bersama Ketua Jabatan, Ketua Polis Daerah di Sudara Beach Resort di sini hari ini.

Shafien juga berkata tiga pintu sempadan negara di Kelantan iaitu di Bukit Bunga, Jeli; Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor akan dipantau sepenuhnya.

Menurutnya polis bersama agensi penguatkuasa lain turut memantau lokasi sempadan lain di sempadan di Jeli, Gua Musang dan Pasir Puteh bagi membendung semua bentuk jenayah,” katanya. – HARAKAHDAILY 3/11/2021

- Advertisement -