Jabatan kerajaan di Terengganu ke arah pendigitalan

- Advertisement -

Oleh KHAIRUL AZLAM MOHAMAD

KUALA TERENGGANU:
Kerajaan Terengganu bersiap ke arah proses pendigitalan setiap jabatan dan agensinya selaras dengan Pelan Induk Kerajaan Digital Pintar Terengganu 2021-2030.

Menteri Besar Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, proses pendigitalan itu ke arah persediaan kerajaan negeri mengikuti Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara yang berkembang di seluruh dunia sekarang.

“Apabila kita berdepan dengan cabaran pandemik Covid-19, suatu perkara yang sebelum ini kita tidak pernah terfikir untuk kita lakukan seperti order makanan secara ‘online’.

- Advertisement -

“Begitu juga cara untuk mendapatkan maklumat dahulu kena pergi perpustakaan. Sekarang semua itu berada di hujung jari.

“Inilah cara untuk kerajaan berhadapan dengan normal baharu,” katanya ketika berucap merasmikan Pelancaran Perpustakaan Digital, Dewan Undangan Negeri (Dun) Terengganu di U2 Wisma Darul Iman (WDI) hari ini.

Perpustakaan digital membolehkan maklumat dicapai dengan hanya ‘search’ dan dokumen boleh dimuatnaik di mana-mana dan bila-bila masa sahaja oleh Adun.

Kaedah itu membolehkan carian dibuat dalam tempoh masa yang singkat. Perpustakaan digital dilengkapi data seperti penyata rasmi, bank soalan, kemasyarakatan, penyelidikan pendidikan, legislatif dan galeri.

Sehubungan itu Menteri Besar menyambut baik langkah dan inisiatif yang diperkenalkan Pejabat Dewan Undangan Negeri Terengganu.

“Tahniah kepada Yang Dipertua Dun Dato’ Yahaya Ali, di atas inisatif yang sangat penting dan berharga, mercu tanda perjalanan Dun Terengganu ke arah lebih baik,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 3/11/2021

- Advertisement -